Oleh DR AZRI BHARI

LAZIMNYA, apabila tiba bulan Muharram yang menandakan kedatangan tahun baru Hijrah pada setiap tahun, maka peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah akan dibicarakan untuk dijadikan iktibar oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Bulan Muharram juga dijadikan sebagai medan untuk masyarakat Islam bermuhasabah dan memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan.

Sesungguhnya, peristiwa hijrah bagina ke Madinah berlaku bukan suatu kebetulan dan tanpa proses berfikir, sebaliknya penuh dengan strategi dan perancangan yang tersusun rapi bagi mencapai tujuan dan objektif kejayaan dakwah Islam.

Keutamaan dan kelebihan melakukan hijrah telah dijelaskan oleh ALLAH SWT yang berfirman: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan ALLAH (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada ALLAH dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Nisa’, ayat 100)

Peristiwa hijrah juga dilihat sinonim dan relevan dengan kehidupan masyarakat Islam pada hari ini.

Terdapat pelbagai pengajaran dan hikmah yang boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi cabaran dan dugaan kehidupan ketika menghadapi situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Pertama: Melakukan strategi dan perancangan yang tersusun dan kemas.

Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh dalam melakukan perancangan hijrah.

Antaranya bagaimana kaedah menghantar bekalan makanan, mengatur laluan perjalanan, memilih pemandu jalan, bersembunyi di Gua Thur dan sebagainya.

Dalam situasi Covid-19, perancangan pihak kerajaan dalam menangani wabak itu adalah suatu contoh perancangan dan usaha yang baik seperti mewujudkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan imuniti berkelompok dengan pemberian vaksin.

Begitu juga dalam kehidupan, setiap manusia perlu melakukan strategi dan perancangan supaya mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Kedua: Pengorbanan perlu dilakukan dalam mencapai matlamat dalam kehidupan.

Dalam penghijrahan, baginda telah melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta yang menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh alam.

Hijrah dan perubahan adalah suatu tuntutan hidup dan memerlukan pengorbanan.

Perubahan daripada suatu yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang terbaik adalah perlu dilaksanakan dalam kehidupan yang menuntut pengorbanan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Ketiga: Melahirkan sifat sabar dan tawakal kepada ALLAH SWT.

Nabi Muhammad SAW memberi contoh terhadap kesabaran ketika melalui pelbagai kesukaran ketika berhijrah seperti diancam bunuh, dikejar musuh, perjalanan yang jauh dan lain-lain.

Dalam situasi pandemik COVID-19, masyarakat yang diuji dengan pelbagai masalah perlu bersabar dan bertawakal kepada ALLAH SWT, di samping mengatur perancangan untuk menyelesaikan dan mencari jalan keluar.

Sikap sabar, keyakinan yang tinggi kepada pertolongan ALLAH SWT dan tidak mudah putus asa adalah resepi kejayaan dalam setiap kerja yang dilakukan.

Keempat: Keperluan kepada sokongan dan dokongan pelbagai pihak.

Iklan

Baginda memberi teladan bahawa hijrah yang dilakukan memerlukan sokongan daripada pelbagai lapisan usia, jantina dan agama dalam menjayakan misi hijrah.

Abu Talib, Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan misalnya, mempunyai pengaruh dan kekuatan melalui kekuasaan dan kewangan.

Ali bin Abi Talib yang masih belia menggantikan tempat tidur Nabi SAW. Asma’ Abu Bakar berperanan menghantar bekalan makanan, sementara Abdullah bin ‘Uraiqit walaupun bukan Islam berperanan sebagai pemandu jalan ke Madinah.

Kelebihan yang ada digunakan untuk memainkan peranan yang sesuai mengikut potensi masing-masing.

Begitulah juga dalam kehidupan, manusia sentiasa perlukan sokongan daripada pelbagai pihak supaya dibantu, terus bermotivasi dan berjaya dalam setiap kerja dan misi hijrah yang dilakukan.

Kelima: Mewujudkan semangat persaudaraan dan saling membantu.

Lihat bagaimana Nabi Muhammad SAW mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menggalakkan pemberian bantuan.

Iklan

Peristiwa hijrah telah mendidik sifat keprihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

Baginda melalui hadis Riwayat Ahmad menyebut: “Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakitnya dengan berjaga malam dan demam.”

Dalam menghadapi pandemik wabak Covid-19, seluruh masyarakat dilihat berjaya menzahirkan keprihatinan dengan memberikan bantuan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

Demikianlah, perisitiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang disambut dan diingati.

Ia bukan sekadar menikmati dan mendengar kisah sejarah semata-mata, bahkan peristiwa hijrah boleh menjadi iktibar dan mengubah penafsiran falsafah hidup manusia.

Sewajarnya, masyarakat Islam mengambil intipati dan iktibar daripada peristiwa hijrah baginda agar dapat diterapkan dalam kehidupan demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

DR AZRI BHARI.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Jangan lupa follow kami di Instagram!