PERIHAL tentang darah haid jarang-jarang sekali dibicarakan dengan begitu mendalam. Barangkali ia melibatkan isu yang agak sensitif dalam kalangan masyarakat kita.

Bukan mahu serkap jarang, namun, itulah hakikatnya yang berlaku pada hari ini. Sekalipun perkara berkaitan dengannya ada dibincangkan secara terbuka melalui media sosial dan platform lain, namun jawapan yang ditonjolkan kebanyakannya mungkin kurang jelas.

Barangkali disebabkan itulah masih ramai lagi yang keliru tentang perihal datang bulan. Lebih-lebih lagi dari konteks agama.

Walaupun seseorang wanita itu sudah bertahun-tahun, bahkan berpuluh-puluh tahun mengalami period, ia bukanlah kayu ukur yang membuktikan mereka tahu semua berkaitan dengannya.

Masih memerlukan rujukan daripada pihak yang pakar seperti pengamal perubatan dan para asatizah. Ia kerana setiap orang mengalami haid yang berbeza.

Bukan itu sahaja, kadangkala ada orang yang tidak menentu datang bulannya disebabkan beberapa faktor. Jadi, ada yang menganggap apabila darah keluar sahaja dari faraj, maka itu adalah period.

Andai kata, seseorang wanita didatangi haid pada waktu pagi, tetapi tidak banyak. Menjelang tengah hari, darah itu telah berhenti hinggalah pada waktu Asar. Perlukah wanita tadi mandi wajib?

Menjawab kemusykilan itu, pendakwah Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki mengajak kita untuk memahami lebih lanjut tentang darah haid.

USTAZAH ISFADIAH

Jelas beliau, darah berkenaan keluar minimum adalah dalam tempoh 24 jam iaitu sehari semalam.

“Namun, apabila kita berbalik kepada persoalan tadi iaitu darah hanya keluar pada waktu pagi sahaja dan berhenti pada waktu tengah hari dan langsung tidak keluar pada waktu Asar. Ia sebenarnya tidak cukup tempoh pakej malam dan siangnya.

“Tidak cukup tempoh 24 jam. Oleh itu, ia tidak dianggap sebagai darah haid. Sebaliknya darah yang keluar itu dianggap sebagai istihadah,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi video yang disiarkan pada Instagram My Salam Muslim baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Wanita period boleh amalkan doa ini untuk dapat pahala macam solat)

Apabila seseorang itu dalam keadaan istihadah, jelas pendakwah itu, tidak perlu bagi wanita tersebut mandi wajib.

“Cukuplah sekadar dirinya mengambil wuduk. Sebelum itu, dia perlu membersihkan diri sebelum menunaikan solat,” katanya.

HaidBagaimana kita hendak tentukan haid yang datang sebelum itu benar-benar telah bersih?

Iklan

Ujar Ustazah Isfadiah, sebenarnya ia boleh diketahui menerusi beberapa tanda-tanda suci. Antara tanda yang paling lazim adalah keluarnya cairan putih dari faraj.

“Ketahuilah, terdapat lima warna haid iaitu mula dari warna hitam, merah, coklat, kuning dan juga keruh. Andai keluar cairan kuning, diri kita masih lagi dalam haid. Tatkala keluarnya cairan putih, itu tandanya kita sudah suci.

“Ada satu lagi tanda boleh kita lihat iaitu mengikut kebiasaan hari. Contohnya, jika biasanya haid kita sekitar tiga hari atau empat hari berdasarkan bulan-bulan sebelumnya. Jadi di situ ia boleh membantu kita untuk kenal pasti sama ada kita sudah bersih ataupun tidak.

“Bagaimanapun, tempoh hari itu bukanlah penentunya. Ia sekadar cuma membantu kita untuk mengukur sahaja. Namun begitu, apa yang menentukan tanda-tanda kita sudah bersih daripada haid adalah melalui perbezaan cairan yang keluar daripada kita,” ujarnya sekali lagi.

Haid
ANTARA tanda-tanda darah period telah kering adalah keluarnya cairan putih.

Semoga jawapan itu membantu meleraikan kekusutan kita.

Iklan

Bukan sahaja kaum Hawa, tetapi kaum Adam juga perlu ambil tahu perihal ini agar dapat membimbing isteri, anak perempuan, adik perempuan dan ahli keluarga lain supaya jelas tentang perkara itu.

Bukan apa, ia penting kerana melibatkan perkara yang mempunyai kaitannya dengan ibadah solat kita.

Sumber: Instagram mysalammuslim

Foto: Freepik