BESAR harapan kita agar semua dapat pulang ke kampung halaman masing-masing menjenguk ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Namun apakan daya, kita masih belum menang untuk melawan wabak Covid-19 yang masih mengganas. Kes pula semakin melonjak akhir-akhir ini hinggakan perasaan galau bertamu dalam hati.

Melihat keadaan itu, tidak mengapalah kita bermujahadah mengetepikan perasaan rindu itu semata-mata mahu melihat insan kesayangan tidak dijangkiti virus berbahaya berkenaan.

Itulah langkah yang sebaik-baiknya walaupun betapa peritnya hati ini untuk menerimanya. Pada masa sama, jangan lupa panjatkan doa kepada ALLAH SWT agar kita dijauhkan daripada perkara yang buruk dan pandemik berkenaan.

Semoga ALLAH memperkenankan doa kita, sekali gus mengenyahkan penyakit tersebut dari muka bumi ini.

Seandainya pada masa akan datang atau apabila tiba waktunya, kita dibenarkan pulang ke kampung tidak kiralah untuk berhari raya atau berziarah sekalipun, berapakah tempoh masa seseorang itu boleh melakukan solat jamak dan qasar terutama jika dirinya tidak tahu berapa lamakah akan berada di kampung?

Merungkaikan jawapannya, pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki menjelaskan, Mazhab Syafie lazimnya hanya meletakkan tempoh masa selama tiga hari tidak termasuk hari kita sampai ke kampung dan kembali pulang ke rumah masing-masing.

ISFADIAH

“Demikianlah kadar waktu yang ditetapkan yang mana kita boleh melakukan solat jamak dan qasar.

“Namun begitu, dalam situasi kita tidak tahu dan kurang pasti berapa lama tempoh berada di kampung, maka kita boleh aplikasikan tempoh tiga hari berkenaan.

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

“Selepas durasi tersebut, kita perlu mendirikan solat tamam (sempurna) seperti biasa mengikut bilangan rakaat dalam solat fardu berkenaan,” jelasnya.

Pilihan yang terbaik, kata Isfadiah adalah kita menunaikan solat secara penuh (solat tamam) apabila sudah sampai ke kampung halaman masing-masing.

“Ini kerana kita bukanlah bermusafir sebab kampung itu pun asal-usul tempat kita walaupun tidak bermukim di situ,” ujarnya.

Foto: 123rf