TIADA siapa yang mahu dirinya jatuh sakit. Apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

Kalau boleh, kita semua nak sihat-sihat saja supaya boleh manfaatkan bulan Ramadan yang hanya bertandang sebulan sekali. Saat inilah masa untuk mengumpul pahala berganda.

Namun, apakan daya andai tidak diizinkan oleh ALLAH SWT. Ya, memang ada keringanan diberikan kepada orang yang sakit untuk meninggalkan puasa sekiranya tidak mampu melakukannya.

Misalnya, bagi mereka yang terpaksa makan ubat sekurang-kurangnya tiga kali sehari atas nasihat doktor dan juga mereka yang berterusan bergantung kepada ubat-ubatan seperti bekas pesakit buah pinggang pula bagaimana?

Perlukah mereka berpuasa dan menggantikan puasa kerana tidak mampu berpuasa?

Dalam hal ini, seandainya seseorang pesakit menderita kesakitan, dia perlu mendapatkan nasihat doktor pakar yang beragama Islam sama ada dia boleh berpuasa atau sebaliknya.

Bagi pesakit yang perlu makan ubat secara berterusan, mereka hendaklah berbincang dengan doktor untuk mengubah jadual makan ubat terutama mereka yang perlu memakan ubat tiga kali sehari.

Sebenarnya, dalam menentukan hukum boleh puasa ataupun tidak, seseorang pesakit itu hendaklah mengetahui tahap sakit yang dihadapinya.

Iklan

Dr Wahbah al-Zuhaily memberikan pengertian 'sakit' yang dibolehkan berbuka ialah sakit yang mendatangkan kesukaran amat sangat.

"Berkemungkinan sekiranya pesakit itu meneruskan puasanya, maka ia akan mengakibatkan suatu yang buruk terjadi, dibimbangi akan bertambah sakit atau lambat sembuh.

"Oleh itu, nasihat doktor amat penting dalam menentukan tahap kemampuan seseorang pesakit itu boleh berpuasa atau tidak berpuasa," kata ulama berkenaan.

Bagaimana pula dari segi hukum untuk menggantikan puasa atau bayar fidyah?

Iklan

Andai kata seseorang itu disahkan tiada harapan untuk sembuh, maka dia wajib membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Akan tetapi, jika sakitnya tidak memudaratkan dan dia mampu menggantikannya pada hari yang lain, maka dia perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan.

Pada masa sama, individu berkenaan juga perlu membayar fidyah jika tidak sempat gantikan puasa tadi sebelum bulan Ramadan pada tahun akan datang.

Apa pun, rujuklah kepada doktor seandainya kita sakit.

Jangan pandai-pandai gunakan alasan sakit atau perlu ambil ubat semata-mata untuk mengelakkan diri daripada berpuasa dalam bulan Ramadan ini.

(Sumber: Laman Web Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)