ANTARA perkara yang membatalkan wuduk adalah apabila bersentuhan lelaki dan wanita yang bukan muhrim tanpa berlapik. Begitu juga apabila suami tersentuh isteri berdasarkan kepada Mazhab Syafie.

Dalam bab wuduk ini, memang kita tak boleh buat main. Bukan apa, ia perkara utama yang perlu kita lakukan sebelum menunaikan solat dan menyentuh mushaf al-Quran.

Jika tiada wuduk atau tayamum, maka solat kita tidak sah. Itulah yang paling ditakuti. Malah, kalau kita terlupa berwuduk atau bertayamum sebelum tunaikan solat, solat tadi perlu diulang semula.

Andai kata, usai berwuduk, seorang wanita Muslimah bersentuhan dan berjabat tangan dengan wanita bukan Islam, adakah batal wuduknya?

Jika diteliti, persentuhan kulit yang melibatkan dua jantina yang berbeza iaitu lelaki dan wanita, memang terbatallah wuduk berkenaan jika tidak berlapik.

Namun begitu, seandainya ia melibatkan jantina yang sama, ia tidak membatalkan wuduk kita walaupun berlainan agama.

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebut bahawa manusia itu dimuliakan.

“Implikasi kepada kemuliaan tersebut, manusia tidak akan dihukumkan najis apabila telah meninggal dunia. Tidak kiralah sama ada mereka seorang Muslim atau kafir (bukan Islam).

“Manakala firman ALLAH SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 28 yang bermaksud ‘Sesungguhnya orang-orang Musyrik itu najis’. Najis yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis dan bukannya kenajisan pada jasad mereka.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/10)

Ketahuilah bahawa Islam tak pernah melarang kita daripada menyantuni dan berbuat baik kepada orang bukan Islam. Malah, kita diperintahkan berlaku adil dan menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka.

Iklan

Mudah-mudahan ia dapat menjadi sebab kepada dekatnya mereka dengan agama Islam yang suci ini.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah, ayat 8)

Iklan

Ingat, hanya ada empat perkara saja yang membatalkan wuduk sepertimana yang disebutkan oleh Habib Hassan bin Ahmad al-Kaff dalam kitabnya, al-Taqrirat al-Sadidah iaitu;

1. Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani

Ini kerana apabila keluarnya mani, maka diwajibkan mandi dan ia menjadi keutamaan untuk dilakukannya terlebih dahulu.

2. Hilang akal sama ada tidur atau selainnya

Begitupun, wuduk tak akan batal sekiranya kita tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.

3. Bersentuhan kulit antara wanita dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa lapik

4. Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan

Jadi, tak perlu risau andai kita tersentuh rakan bukan Islam yang sama jantina walaupun ketika dalam keadaan berwuduk kerana ia langsung tak menjejaskan wuduk kita.

(Sumber: Al-Kafi #1579: Adakah Batal Wuduk Bersentuhan dengan Bukan Muslim, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)