MESKIPUN berulang kali diingatkan agar tidak berkongsi suatu maklumat yang tidak pasti dari sudut kesahihannya, namun ia seakan ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.

Apatah lagi, jika ia melibatkan kalam ALLAH dan hadis Nabi Muhammad SAW yang tidak boleh dibuat main.

Dalam kes melibatkan kebimbangan ramai terhadap wabak Covid-19, ada individu berkongsi tentang satu petikan ayat yang didakwa merupakan lafaz daripada sebuah hadis.

Ayat itu berbunyi: “Di akhir zaman nanti akan ada banyak wabak penyakit melanda manusia di dunia, hanya umatku yang terhindar kerana memelihara wuduknya.” (Riwayat al-Thabrani)

Apakah status hadis berkenaan? Benarkah hanya dengan berwuduk, kita boleh terhindar daripada terkena wabak dan penyakit?

Menjejaki hadis berkenaan dalam kitab-kitab hadis karya Imam al-Thabrani seperti Al-Mu’jam al-Saghir, Al-Mu’jam al-Awsath dan Al-Mu’jam al-Kabir, tidak ditemui hadis yang menghampiri atau hampir menepati teks yang terdapat dalam ayat tersebut.

Bahkan, tidak terdapat sebarang hadis yang sahih lagi sarih menunjukkan bahawa perbuatan berwuduk menghalang wabak dan penyakit kepada seseorang yang melakukannya.

Jadi, jelas bahawa teks yang didakwa hadis tadi adalah hadis palsu yang bercanggah dengan riwayat-riwayat yang sahih dan tidak ada asal baginya.

Malah, teks yang terdapat dalam hadis tersebut jelas bercanggah dengan hakikat yang berlaku apabila ia menyatakan bahawa umat Islam yang memelihara wuduk terhindar daripada wabak penyakit.

Ini kerana, merujuk kepada hadis-hadis yang sahih, saat terjadinya wabak atau azab daripada ALLAH SWT kepada sesuatu kaum, maka ia turut menimpa golongan soleh dan orang beriman yang ada dalam kalangan mereka.

Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA  yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila munculnya kejahatan di atas muka bumi maka ALLAH akan menurun azab-NYA kepada seluruh penduduk bumi.” Aku (Ummu Salamah) bertanya: “Sekali pun dalam kalangan mereka ada orang soleh?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Ya, meskipun dalam kalangan mereka ada orang soleh. Mereka ditimpa seperti mana yang ditimpa oleh orang ramai kemudian mereka kembali kepada rahmat ALLAH.” (Riwayat al-Thabrani dalam Mu’jam al-Awsath)

Wuduk elak wabak
BERHATI-HATILAH dalam menyebarkan maklumat sebelum diketahui kesahihannya.

Seperkara lagi, dalam nas-nas syarak, memang ada yang mengkhabarkan akan berlakunya wabak penyakit berjangkit pada generasi yang terkemudian dalam kalangan umat ini.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah muncul kejahatan pada sesebuah kaum sehinggalah mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan akan merebak dalam kalangan mereka wabak taun serta penyakit-penyakit yang tidak pernah muncul dalam kalangan generasi sebelum mereka.” (Riwayat Ibn Majah)

Iklan

Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa wabak penyakit berjangkit akan muncul pada akhir zaman, namun kita berpada-padalah dengan hadis-hadis sahih yang menjelaskan berkenaan hal ini.

Namun begitu, tidak ada nas secara spesifik yang sahih menyatakan bahawa berwuduk dapat menghindarkan seseorang daripada wabak penyakit.

Akan tetapi, kita tidak boleh menafikan fadilat sampingan berwuduk iaitu dapat membersihkan anggota wuduk daripada kotoran.

Begitupun, golongan soleh dan beriman turut tidak terlepas untuk ditimpa azab sekiranya ALLAH SWT menurunkannya kepada sesuatu kaum seperti mana yang disebutkan dalam hadis-hadis sahih.

Iklan

Ingat! Menyebarkan hadis yang palsu merupakan salah satu perbuatan dosa yang haram hukumnya melainkan ia dibenarkan untuk disebar bagi menjelaskan kepalsuannya sahaja.

Sebagai manusia yang memang tidak lari daripada membuat kesilapan, bertaubat dan mohon keampunan kepada-NYA.

Jangan sesekali menyebarkan sesuatu yang tidak pasti kebenarannya. Usah ditambah lagi ‘bank’ dosa kita!

(Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-487: Status Hadis Berwuduk Menghindarkan Penyakit dan Wabak, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)