KINI pemakaian kanta lekap bukan sahaja dipakai oleh golongan yang mengalami masalah rabun tapi ia turut dipakai untuk kelihatan lebih menawan.

Namun, adakah pemakaian kanta lekap dibenarkan di dalam Islam?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemakaian kanta lekap berwarna ataupun tidak adalah dibenarkan.

Pemakaian kanta lekap dengan tujuan kecantikan juga adalah dibenarkan di dalam Islam.

Tiada dalil yang mengatakan bahawa pemakaiannya adalah haram, sebagaimana firman ALLAH SWT di dalam surah al-A’raaf ayat ke-32:

قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِيٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةٗ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ

Yang bermaksud:

Katakanlah: “ Siapa yang mengharamkan perhiasan dari ALLAH yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezeki yang baik?”
Katakanlah: “ Semua itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat.” Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang yang mengetahui.

Kebiasaannya kanta lekap digunakan oleh golongan yang rabun sebagai satu alternatif bagi menggantikan penggunaan kaca mata.

Baca juga: Wuduk Kita Tetap Sah Walaupun Pakai Kanta Lekap, Berikut Penjelasannya

Ya, penggunaan kanta lekap sebenarnya lebih selesa di samping tidak perlu bimbang akan terlupa di mana kaca mata setelah ditanggalkan.

Namun, bagi golongan yang rabun dan ingin menggunakan kanta lekap perlulah berjumpa doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan berlakunya masalah mata kelak.

Iklan

Bagaimanapun, para ulama menetapkan beberapa syarat pemakaian kanta lekap yang perlu diketahui:

  • Pemakaian kanta lekap tidak memudaratkan mata si pemakai.
  • Tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain terutamanya di hadapan bukan mahram.
  • Isteri yang mendapat keizinan suaminya untuk memakai kanta lekap.
  • Tidak berlaku pembaziran semata-mata untuk membeli kanta lekap yang dijual dengan harga yang mahal.
  • Corak kanta lekap hendaklah tidak menyerupai mata binatang kerana menyerupai binatang adalah dilarang di dalam Islam.
  • Wanita yang ingin bertunang tidak dibenarkan memakai kanta lekap di hadapan bakal tunangnya semata-mata ingin kelihatan cantik kerana terdapat unsur penipuan.

Bagi si pemakai kanta lekap, pasti ikuti syarat yang telah dinyatakan oleh para ulama supaya tidak jatuh hukum haram.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iklan

Baca juga: Pakai Kanta Lekap Tidak Membatalkan Puasa, Ini Sebabnya

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI