DI MALAYSIA, kes penganiayaan haiwan memang sering dilaporkan.

Ketahuilah, adab manusia tidak terbatas kepada manusia dan ALLAH sahaja, malah terhadap alam semesta
termasuk haiwan.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Surah Al-Israa’, ayat 44: “Langit yang tujuh serta bumi dan segala isi
kandungannya memuji ALLAH. Dan tiada suatu pun kecuali ia menyanjung dengan memuji-NYA; akan tetapi
kamu tidak faham pujiannya.”

Ayat tersebut jelas memberitahu seluruh umat manusia bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga
memuji-NYA, walaupun pujian itu bukanlah dalam bentuk yang difahami manusia.

Justeru, nyahkanlah sikap suka mendera haiwan, sebaliknya, tanamkanlah sifat ihsan dalam diri kita.

Apakah maksud sebenar konsep ihsan terhadap haiwan yang diajar oleh Islam? Bagaimana pula jika terdapat haiwan yang memberi ancaman kepada kita?

Pendakwah, Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, meskipun haiwan tiada akal, ciptaan ALLAH SWT yang satu itu juga
punya perasaan dan mahukan layanan yang baik.

Oleh sebab itu, katanya, ALLAH SWT merakamkan dalam al-Quran supaya kita berbuat baik dan ihsan kepada
semua yang ada di muka bumi ini, waima sesama manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

“Ketahuilah, ihsan kepada binatang itu adalah merangkumi semua jenis tidak kiralah sama ada haiwan
bernajis, tidak bernajis, halal atau haram dimakan.

“Dalam hadis banyak menceritakan tentang kucing. Walaupun si bulus itu haiwan tidak bernajis dan tidak boleh dimakan, tetapi kita perlu berbuat baik kepadanya.

“Begitu juga halnya dengan anjing yang termasuk sebagai haiwan najis mughallazah dan tidak boleh
dimakan,” katanya.

Menyambung hujah berkenaan, Mohd Fauzi menjelaskan konsep berbuat baik kepada haiwan terbahagi kepada dua
kategori. Seandainya kita membela atau memelihara binatang, penuhilah tiga hak haiwan iaitu dengan
memberi makanan, minuman dan rehat.

Ujar Mohd Fauzi, penuhilah hak-hak haiwan yang dipelihara dengan sebaiknya agar kita tidak berlaku zalim dengan
ciptaan ALLAH yang satu ini.

kerbau sawah

Jika kita membela kerbau untuk membajak sawah misalnya, wajib tunaikan semua hak tersebut. Tak boleh 24
jam bebankan kerbau berkenaan dengan membajak sawah saja.

“Sementelah, jika melibatkan haiwan yang tidak dipelihara, hak yang patut kita pelihara adalah jangan
sesekali menyakiti haiwan itu.

“Sekalipun tidak mahu memberikannya makanan, tetapi usahlah kita menyekatnya untuk makan seperti
mengurungnya. Berdosa berbuat demikian,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, jelas agamawan itu, konsep ihsan turut diterapkan dalam agama ketika menyembelih
haiwan untuk dijadikan sumber makanan kita.

“Nabi Muhammad SAW berpesan, apabila ingin menyembelih binatang, maka sembelihlah ia dengan baik. Caranya adalah dengan menajamkan pisau supaya haiwan itu tidak berasa sakit.

“Seperkara, usah sesekali kita mengasah pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih kerana ia boleh menyakiti perasaannya. Perbuatan itu adalah dilarang.

“Ingatlah bahawa menyakiti haiwan bukanlah bermaksud kita menyeksa fizikalnya saja, tetapi juga
perasaannya,” katanya.

Tuturnya lagi, konsep ihsan juga diterapkan ketika menyembelih haiwan iaitu dengan cara menajamkan
pisau.

Begitu juga halnya dengan haiwan yang tidak boleh dimakan seperti binatang perosak atau jenis yang
mendatangkan mudarat kepada manusia. Seandainya dibunuh, terapkan juga konsep ihsan.

“Ertinya, jangan menyakiti atau menyeksa binatang tersebut. Sebaliknya, bunuh dengan baik iaitu sekali
buat, terus mati,” katanya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Mohd Fauzi kemudian menceritakan kisah penganiayaan terhadap haiwan
yang boleh dijadikan iktibar agar kita tidak berlaku zalim terhadap makhluk ALLAH SWT.

unta

Ketika dalam suatu perjalanan, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang merintih dan mengalirkan
air mata. Baginda segera mendekatinya dan mengusap lembut bahagian belakang telinga hingga unta itu
tenang.

Lantas, baginda dalam nada yang tegas bertanyakan: “Siapakah pemilik unta ini?“ Maka, seorang lelaki
Ansar menjawab dengan jujur: “Sayalah pemilik unta ini, ya Rasulullah.”

Lalu, baginda SAW menegur lelaki itu: “Tidakkah kamu takut kepada ALLAH hingga kamu memperlaku binatang yang DIA berikan kepada kamu? Perutnya kamu laparkan, tubuhnya kamu letihkan dengan kerja paksa yang tiada henti dan di luar kemampuannya.“ (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis masyhur, ujar Mohd Fauzi, Rasulullah SAW telah memberi peringatan dan ancaman
terhadap seorang wanita yang tidak memberi makan dan minum kepada kucingnya ketika mengurungnya.
Bahkan, haiwan comel berkenaan turut tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri.

Baginda SAW bersabda: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung hingga mati
kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.“ (Riwayat al-Bukhari)

Iklan

Cintailah haiwan sebagaimana sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada semua makhluk ciptaan ALLAH SWT.

Berdasarkan hadis berkenaan, sudah terang lagi bersuluh, kita dilarang keras menyakiti haiwan apatah
lagi mendera atau menyeksanya, ungkap Mohd Fauzi.

Namun apabila berdepan dengan haiwan yang boleh mengancam nyawa kita, Mohd Fauzi berkata, “Contohnya,
apabila ular masuk ke dalam rumah, Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita tidak terus membunuhnya.
Sebaliknya, berilah amaran supaya ia keluar rumah.

“Ini kerana dikhuatiri ular tadi barangkali ialah jin yang menjelma dalam bentuk haiwan yang ditakuti
oleh manusia.

“Ketahuilah, dalam istilah perubatan Islam, ada penyakit yang dipanggil sebagai badi haiwan. Ia berlaku
apabila kita menyakiti binatang dengan sengaja yang menyebabkan badi tadi akan terkena kepada pelakunya mahupun keluarganya,” ujar beliau.

Sementara itu, fakta yang dilontarkan oleh Mohd Fauzi turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Fuad
Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad.

Beliau menambah, salah satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan termasuklah apabila kita menggunakannya
untuk tujuan kepercayaan syirik.

“Umpamanya, menggunakan dan mempercayai ikan puyu dapat menghalau serta memakan makhluk ghaib. Begitu juga mempercayai rawatan yang memindahkan sakit daripada manusia kepada seekor ayam misalnya. Semua ini termasuk antara perkara yang sangat zalim kepada haiwan kerana mempergunakannya,“ tegas beliau.

Bagaimana pula jika kita pernah menganiaya haiwan seperti melastik burung suatu ketika dulu tanpa
sengaja ketika diri masih jahil?

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, taubat paling baik adalah dengan mengakui kelemahan dan
kesalahan diri, menyesal dengan kemaksiatan dilakukan dan berazam tidak mengulanginya.

Iklan

“Satu lagi, lakukanlah infak atau sedekah jariah kepada haiwan-haiwan ’sebangsa’ dengan binatang yang
pernah kita sakiti. Beri makan sebagai tanda memohon maaf kepada haiwan tersebut. Lakukan semuanya ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Walaupun haiwan itu tidak berakal, tetapi apabila kita memuliakan dan menghargainya, ALLAH SWT akan
memberi timbal balas yang baik kepada kita,“ pesannya.

Baca juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

ANEKDOT

RASULULLAH SAW pencinta haiwan.

  • Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang sangat menyayangi haiwan dan setiap makhluk yang dijadikan oleh
    ALLAH SWT dalam kehidupannya.
  • Oleh sebab kecintaan itulah, baginda meletakkan nilai kepada haiwan-haiwan tersebut.
  • Sikap itu dapat dilihat apabila Rasulullah SAW menamakan haiwan-haiwan yang selalu menjadi tunggangan
    baginda.
  • Antaranya dalam satu riwayat, disebutkan bahawa kekasih ALLAH itu meletakkan nama al-Murtajaz
    terhadap kuda tunggangannya. Nama itu diilhamkan oleh baginda SAW kerana keindahan warna putih kuda
    berkenaan, selain kekuatannya.
  • Sebab itulah menamakan haiwan tunggangan kita termasuk antara sunah Rasulullah SAW.

Kucing sangat gemar dengan kotak, ini sebabnya

  • Walaupun mungkin kita beli kereta yang sudah pasti ada jenamanya, tidak salah kita meletakkan nama
    kepadanya. Ia sebagaimana baginda SAW membubuh nama al-Qaswa kepada unta miliknya.
  • Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga menyayangi kucing dan kambing.
  • Disebabkan sifat penyayang itu, baginda SAW begitu menjaga makan dan minum haiwan berkenaan serta
    mengehadkan tugasan binatang berkenaan mengikut kemampuan stamina masing-masing.
  • Andai kata seekor haiwan tunggangan baginda tidak mampu bekerja keras atau ke medan perang, maka
    Rasulullah SAW tidak akan menggunakan kuda tersebut untuk tujuan itu. Begitu juga dengan haiwan yang
    uzur dan tidak kuat dalam perdagangan.

Sumber: Sinar Islam Plus