SEMUA umat Islam sedia maklum bahawa solat imerupakan tiang agama. Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk mengerjakan perintah ALLAH SWT itu.

Sekalipun seseorang sakit, solat tetap perlu dikerjakan walaupun dalam keadaan baring. Begitu juga dengan orang yang bermusafir. Malah, ada rukhsah yang disediakan untuk golongan yang bermusafir ini.

Jelas, Islam bukanlah agama yang membebankan umatnya. Setiap kewajipan yang diperintahkan oleh ALLAH SWT terselit hikmah di sebaliknya. Setiap kesukaran itu pasti akan ada kemudahan dan kesenangan.

Ya, kesenangan itulah yang bakal kita kecapi di akhirat kelak. Ini kerana solat merupakan antara perkara pertama yang akan dihitung pada hari pembalasan nanti.

Malangnya, ada yang memandang remeh perkara ini hinggakan ada orang yang meninggalkan kewajipan tersebut dengan sengaja.

Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus berkata, masih ramai yang meninggalkan Rukun Islam ke-5 ini yang menjadi satu kefarduan dalan Islam.

Baginya, orang yang tidak solat itu tidak layak bernama Islam. Ini kerana, mereka yang meninggalkan solat itu adalah musuh ALLAH, musuh malaikat, para rasul, musuh para nabi, musuh orang yang beriman.

“Akan tetapi, kita tak pandang meninggalkan solat sebagai satu jenayah.

“Bagi kita, jenayahnya (adalah) dialah hisap dadah ataupun rompak dan samun. Meninggalkan solat tak ada apa.

“Bahkan orang yang dihormati walaupun dia orang yang tidak sembahyang, hukumnya haram kita cium tangan orang yang tidak sembahyang,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Instagram jom_dakwah baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Tak boleh ulangi solat fardu saja-saja, ini yang perlu kita tahu)

Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang mencium tangan orang yang tidak solat.

“Tok guru kita kata, baik kita cium hidung kambing daripada kita cium tangan orang yang tidak sembahyang kerana orang yang tidak sembahyang telah pun dijanjikan masuk ke neraka Saqar,” katanya.

Beliau turut berkongsi sebab kenapa orang dimasukkan ke dalam neraka.

Iklan

“ALLAH hikayatkan dalam al-Quran, malaikat bertanya, “Apa sebab kamu duduk dalam api ini lama sangat ni sampai berjuta-juta orang duduk di dalam api ini?”

“Maka jawab mereka itu; “Kami bukan penjenayah hebat, bukan perompak bank, bukan perogol bersiri, kami bukan geng pancung kepala orang, cuma kami tidak solat.”

“Tidak solat tak kira anak raja, permasuri, menteri, presiden dunia ini sekalipun, pasti Tuhan letak di dalam neraka Saqar. Allahu rabbi,” kongsinya.

Iklan

Justeru, peliharalah solat masing-masing dengan sebaiknya. Itulah tanda manifestasi kita kepada Sang Pencipta yang telah menjadikan manusia dan segala makhluk yang ada di langit dan dibumi.

Masih belum terlambat untuk memperbaiki diri. Biar kita bersusah-susah dahulu sekarang, asalkan di akhirat kelak, kita mendapat layanan istimewa asbab daripada perbuatan kita melakukan semua yang disuruh oleh ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-NYA.

Sumber: Instagram jom_dakwah