SUKAR untuk menidakkan kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram (sekadar menyebut beberapa nama) yang banyak membantu mendekatkan hubungan jarak jauh baik bersama ahli keluarga, saudara-mara mahupun sahabat-handai.

Sekurang-kurangnya dengan adanya aplikasi moden seumpama itu kita berpeluang mengikuti perkembangan antara satu sama lain, meskipun tidak berkesempatan bersua muka.

Pun begitu, apa yang menyedihkan kemudahan teknologi moden juga boleh ‘memisahkan’ hubungan sesama manusia.

ELAK memerli dan menegur secara kasar di laman sosial kerana tindakan tersebut boleh merenggangkan kemesraan sesebuah hubungan kelak.

Artikel berkaitanKongsi Scan Ultrasound Di Media Sosial? Ini Pandangan Dalam Konteks Agama

Ia berikutan tindakan segelintir individu yang menjadikan laman sosial sebagai platform melempiaskan kemarahan, memerli dan menegur kesalahan orang lain.

Tanpa kita sedar hanya menerusi tulisan yang dimuat naik secara tidak langsung mengguriskan hati individu dituju sehingga meninggalkan kesan cukup mendalam. Bak peribahasa lama, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang.

muslim hijab
PESAN Asma’ sekiranya bimbang orang yang ditegur terasa hati menerusi tulisan, maka kita boleh memanjatkan doa secara berterusan dan bersungguh-sungguh.

Justeru, dalam perspektif Islam, bagaimana cara terbaik untuk menegur kesilapan orang lain sama ada dekat atau jauh melalui tulisan atau perkataan tanpa membuatkan mereka terasa hati?

Pendakwah Asma’ Harun berkongsi jawapan mengenai persoalan berkenaan menerusi laman sosial Facebook rasminya, @Ustazah Asma’ Harun baru-baru ini.

“Jika tidak mahu orang terasa hati usah ditegur, tetapi kena kuatkan dengan doa berterusan dan bersungguh-sungguh. Namun begitu, sekiranya perlu membuat teguran, maka tidak boleh lari daripada terasa hati.

“Ingatlah, memberi nasihat dan teguran, apatah lagi mencegah kemungkaran adalah satu amalan dan ibadah yang sangat mulia dan dituntut,” tulis beliau.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut Asma’ turut berkongsi beberapa panduan yang boleh dilakukan.

MUSLIM hijab
UMAT Islam diingatkan sentiasa menjaga tutur kata dan penulisan ketika menegur orang lain khususnya menerusi laman sosial bagi mengelakkan mereka berkecil hati.

1) Ikhlaskan hati sekiranya kita ingin menegur kerana ALLAH dan untuk kebaikan bukan kerana hawa nafsu atau iri hati, maka Insya-ALLAH, teguran itu akan sampai ke hati walaupun cara ini yang paling susah sebenarnya.

2) Berdoa dan mohon pertolongan daripada ALLAH SWT sebelum memberi teguran:
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

Iklan

“Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku supaya mereka mengerti perkataanku.” (Surah Thoha, ayat 25-28)

Ia adalah doa Nabi Musa A.S ketika berdepan dengan firaun untuk memberi nasihat, berhujah dan menyampaikan dakwah.

3) Berdoa sekali lagi setelah teguran diberikan:
رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “…Ya Allah, berikanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini.” (Surah Al-Kahfi, ayat 10)

4) Bersedia untuk individu yang ditegur bertindak balas seperti marah, menyakitkan hati, memerli atau menuduh dengan pelbagai tohmahan. Pada saat ini, janganlah bersedih dan putus asa, terus mengulangi doa nombor tiga. Insya- ALLAH akhirnya teguran akan diterima.

Iklan
MUSLIM hijab
Tiada salahnya memberi nasihat dan teguran, apatah lagi yang mencegah kemungkaran kerana ia amalan dan ibadah mulia.

Jika benar kita tegur kerana ALLAH SWT dan mengharapkan redha-NYA, maka kita tidak akan kecewa jika tindak balas yang diperoleh menyedihkan. Pujuklah hati:
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, karena kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali Imran, ayat 139)

Di samping itu, Asma’ juga menitipkan pesanan buat tatapan umum yang berbunyi: “Berkata dan menulis yang baik percuma, namun ganjarannya pahala dan syurga.

“Berkata dan menulis yang keji juga percuma, namun balasannya dosa dan…Pilihan di tangan kita tergantung pada hati.”

Sumber: Facebook @@Ustazah Asma’ Harun  dan Freepik