APABILA Perintah Kawalan Pergerakan sekali dikuat kuasakan, ramai orang memilih untuk melakukan pembelian online sepertimana yang berlaku ketika undang-undang itu dilaksanakan tahun lalu.

Masakan tidak, proses pembelian bertambah mudah. Tidak perlu untuk keluar rumah bagi mengelakkan terdedah dengan risiko virus Covid-19 yang semakin mengganas.

Apatah lagi, kebanyakan barang-barang keperluan juga boleh dibeli secara online menerusi pelbagai platform yang ada pada masa kini.

Sebelum membuat pembelian, setidak-tidaknya kita sudah fikirkan apa yang mahu dibeli. Barang tersebut juga terpapar dengan jelas menerusi imej, spesifikasi dan sebagainya menerusi platform online yang mahu dibeli.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, semacam menjadi trend apabila ada barangan yang tidak diketahui apa di dalamnya turut dijual secara online. Barang itu dinamakan sebagai mystery box, kotak teka-teki dan lain-lain.

Dalam perihal jual beli seperti itu, adakah umat Islam dibenarkan terlibat sama ada untuk membeli atau menjualnya? Ini kerana pembeli tidak tahu secara jelas dan pasti apakah barangan yang akan dierimanya.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini?

Sebelum itu, kita perlu memahami gambaran tentang mystery box. Sememangnya kita tidak mengetahui produk atau barangan yang dijual secara spesifik.

Memetik artikel Al-Kafi #1757: Hukum Jual Beli ‘Mystery Box’ yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, lazimnya, jual beli sebegitu menggunakan modus operandi yang mana pelanggan akan membeli suatu barang yang diberi nama kotak misteri.

Mystery box dan kotak misteri

Nama tersebut katanya, diberikan kerana pembeli berpotensi untuk memenangi suatu produk lumayan seperti telefon pintar yang mempunyai spesifikasi tinggi, alat solek berjenama dan pelbagai lagi dengan nilai bayaran yang rendah.

“Pada masa sama, sekiranya pelanggan tidak bernasib baik untuk mendapat barang lumayan tersebut, mereka akan diberikan barang lain sebagai ganti yang mempunyai nilai lebih rendah daripada barangan yang diimpikan.

“Bahkan, berkemungkinan mendapat barangan yang sangat rendah nilainya jika dibandingkan dengan duit yang dilaburkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Bagi menentukan suatu jual beli atau perniagaan itu diterima oleh syarak, ada beberapa rukun dan syarat asas yang perlu dipatuhi.

Rukun-rukun berkenaan termasuklah pihak yang melakukan akad (penjual dan pembeli), ijab dan kabul serta barang jualan dan harganya.

Iklan

(Artikel berkaitan: Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…)

Melihat kepada perkara itu, urusan jual beli melibatkan mystery box tidak memenuhi rukun dalam barang jualan. Ini kerana para ulama menggariskan, setiap jual beli mestilah diketahui barang jualannya antara peniaga dan pembeli.

Ia bukanlah bermaksud kita perlu tahu setiap inci barang tersebut. Paling tidak pun, sekurang-kurangnya kita kena tahu maklumat asas tentang produk berkenaan seperti jenis barang, sifat, bentuknya dan lain-lain.

Ketahuilah, jual beli barang yang tidak spesifik sebenarnya mengandungi unsur gharar (tidak jelas) yang diharamkan dalam Islam.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar (ketidakjelasan).” (Riwayat Muslim)

Mystery box dan kotak misteriTambahan pula, atikel berkenaan menyebut, jual beli itu mempunyai unsur perjudian kerana bergantung kepada nasib semata-mata.

“Konsep yang diketengahkan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya setimpal dengan harga yang telah dibayar.

“Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan),” katanya.

Berdasarkan hujah di atas, dapat disimpulkan bahawa jual beli mystery box sebagaimana yang digambarkan itu adalah tidak sah dan terbatal.

Pembeli perlu menyerahkan semula barangan berkenaan kepada penjual. Sementara penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima.

Andai ada kesulitan dalam pemulangan barangan tadi seperti ia telah digunakan dan sebagainya, umat Islam disarankan supaya membuat akad jual beli yang baharu dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut.

Iklan

Begitu juga dengan penjual iaitu mereka meredai dengan nilai bayaran yang diterima.

Beringatlah sebelum membeli suatu barangan apalagi yang mempunyai unsur keraguan. Jangan mudah terpedaya dengan ganjaran yang lumayan.

Kelak kita akan menerima implikasinya kerana terjebak dengan perkara yang ditegah oleh syarak.

Sumber: Al-Kafi #1757: Hukum Jual Beli ‘Mystery Box’, laman web rasmi pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Canva.com