TREND 'Unboxing by Husband' nampaknya telah menular di dalam masyarakat.

Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan.

Kelakuan yang memalukan itu turut mendapat perhatian daripada pendakwah dan Penaung Sahabat Amal Care, Ustazah Asma’ Harun yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Ustazah Asma’ Harun

Berikut perkongsian Ustazah Asma’:

SUAMI, AYAH WAJIB CEMBURU

Menurut Imam al-Munawi, sifat dayus (الديوث) merujuk kepada orang yang membiarkan kejahatan / maksiat dalam keluarganya, iaitu isteri dan kerabat terdekatnya. Dalam erti kata lain, dayus juga mudah difahami sebagai seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap isteri dan anak-anaknya.

Mengapa penting untuk seorang suami dan ayah memiliki perasaan ‘cemburu’ ini? Cemburu seorang suami dan ayah adalah WAJIB bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Tanpa perasaan ini, seorang bapa atau suami tidak ada rasa sensitif dan ambil peduli terhadap apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya.

Dengan siapa mereka bergaul, dengan siapa mereka keluar, adakah aurat mereka telah ditutup sempurna dan adakah mereka ada sifat malu dalam diri? Semuanya tak diendahkan.

Baca juga: Banteras Nikah Bawah Usia, Had Umur Perkahwinan Perempuan Islam Kekal 16 Tahun

TIDAK MENEGUR KEMUNGKARAN ADALAH DAYUS

Pada saat seorang suami atau bapa menyedari dan mengetahui kemungkaran yang dilakukan oleh si isteri dan anak-anak, namun masih tidak menegur dan mengubahnya. Maka inilah yang dinamakan DAYUS yang sebenar.

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ

Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.

(HR Ahmad, hadis sahih)

Baca juga: Dedah Aib Suami Isteri, 'Unboxing Pengantin' Jadi Trend Kini Undang Kecaman

TIADA PERASAAN MALUKAH?

AllahuAkbar, terkejut dan sedih rasa apabila melihat trend “Unboxing by Husband” yang dimuat naik beberapa pasangan muda yang baru sahaja bernikah dan masih memakai busana pengantin, sehingga ada yang sanggup membuka tudung.

Walaupun bukan sehingga tahap membuka pakaian seperti barat, namun saya tertanya adakah tidak ada sekelumit pun perasaan malu dalam diri ketika memuat naik video ini? Ke manakah peranan seorang suami yang seharusnya menjaga maruah dan kehormatan rumah tangga yang baru sahaja dibina?

MULAKAN HIDUP DENGAN PERBUATAN MAKSIAT

Kadang disebabkan rasa teruja yang amat dalam melalui peristiwa yang sangat dinanti-nantikan, menyebabkan kita hilang pertimbangan. Mungkin ada yang terlalu gembira sehingga merasakan detik itu perlu dirakam dan dikongsi kepada orang ramai, sedangkan ia sepatutnya disimpan kemas sebagai detik istimewa suami isteri.

Budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan budaya dan tuntutan Islam. Bayangkan, apabila video sebegini mula tular dan semakin ramai pula pasangan pengantin baru yang ikut melakukan perkara ini, bagaimana agaknya? Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Maksudnya: "Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya:

"Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: "Siapa lagi (kalau bukan mereka)?"
(HR Muslim, hadis sahih)

JAUHI TREND MEROSAKKAN

Sahabat, jauhilah segala bentuk trend yang menjatuhkan maruah diri sendiri, malahan membentuk budaya yang rosak. Kita amat risau jika sudah terlalu ramai mula ikut trend yang sama, lalu akhirnya kemungkaran pun jadi suatu yang dianggap biasa. Nauzubillah.

Sabda baginda SAW:
مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
(Riwayat Muslim, hadis sahih)

USAH DEDAH KEMESRAAN DI KHALAYAK

Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu juga buat suami isteri. Antara adab yang penting namun sering dilupakan termasuk tidak mendedahkan kemesraan suami isteri secara terbuka di depan khalayak umum.

Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri.

Larangan ini bukan sahaja dalam bab berpelukan, mencium pasangan, suap menyuap, dan sebagainya, tetapi termasuk juga posting di media sosial sama ada gambar atau video suami isteri bermesraan secara intim.

Dedah aib suami isteri,'unboxing pengantin' jadi trend kini undang kecaman

Baca juga: Anak Pelik Urusan Nikah Jadi Rumit, Bongkar Rahsia Ibu Ayah Bersekedudukan Hingga 7 Zuriat

TITIPAN BUAT PENGANTIN, SEMOGA PERKAHWINAN BEROLEH REDA ALLAH

Buat adinda sekalian yang saya kasihi kerana ALLAH,
Yakin dan percayalah bahawa mempamerkan momen romantis bersama pasangan untuk tontonan umum bukanlah kayu ukur sebenar kebahagiaan. Lumrah lelaki suka melihat, wanita suka dilihat.

Namun, pesanan penting buat para suami, peliharalah aurat dan maruah isteri, serta didik dirinya dengan taqwa dan sifat malu.

Jangan sampai menjadi seorang suami yang dayus. Buat kaum wanita, jangan pula biarkan diri kita terpedaya dengan kehendak nafsu sendiri, bimbang kelak bila sudah terlambat terpaksa menanggung penyesalan yang tiada kesudahan.

Firman ALLAH SWT:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ
اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
(Surah Tahrim 66: 6)

BERSEDERHANALAH

Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu sedar dan tahu membezakan perkara yang baik di sisi agama ataupun sebaliknya. Bersederhanalah dalam ekspresikan kebahagiaan.

Peranan suami dan isteri supaya saling menegur dan perbaiki akhlak sesama pasangan, bukan menjadi pendorong terhadap perkara yang mengundang murka Allah SWT.

Saya doakan agar semua yang sudah atau bakal bergelar suami isteri diberikan hidayah dan bimbingan dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

Agar suami, isteri, ibu ayah dan anak-anak semuanya menjadi penyejuk mata kita.

رَبَّنَا هَبْ لَـنَا مِنْ اَزْوَا جِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّا جْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَا مًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan

Semoga peringatan dan ilmu yang dikongsikan oleh ustazah Asma’ ini bermanfaat buat semua.

Rujukan:
1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-371: Nusyuz Bagi Seorang Suami

2.Zaharuddin.net: Siapa Lelaki Dayus? Oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman

Baca juga: 'Ikatan Perkahwinan Tidak Terlerai Sendiri Melainkan Dengan Kematian' - Peguam Syarie

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun