SOLAT merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh orang Islam. Tidak kiralah apa jua keadaannya, ia wajib disempurnakan walaupun kita sakit.

Sekalipun bermusafir, ia tetap tidak akan menggugurkan kewajipan kita untuk menunaikan Rukun Islam ke-2 itu.

Maka, disebabkan itulah ada orang sanggup berhenti banyak kali semata-mata untuk menyempurnakan ibadah wajib mereka ketika berjalan jauh.

Pun begitu, keadaan jalan raya kadangkala agak sesak terutama ketika musim perayaan. Masalah itu membuatkan kita terkejar-kejar menunaikan solat terutama jika mengalami kesesakan luar biasa.

Hinggakan ada orang yang sanggup berhenti di lorong kecemasan untuk menunaikan solat. Ia sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dari satu segi, memang bagus perbuatan mereka yang ingin menunaikan solat pada waktunya. Namun, ada juga yang berpandangan sebaliknya kerana faktor keselamatan.

Apakah pandangan Islam tentang hal ini?

Mengulas tentang hal ini, Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, tiada masalah melakukan solat di mana-mana sahaja selagi mengikut syarat sah solat.

Dalam melakukan solat jamak dan qasar, ujar beliau, pemilihan tempat menjadi isu penting. Selain tempat yang suci dan bersih daripada najis, soal keselamatan juga perlu dititikberatkan.

“Kita juga perlu memastikan ia selamat dan tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada diri. Dikhuatiri solat di laluan kecemasan akan membahayakan nyawa, maka lebih utama ia dielakkan sama sekali.

“Sebaiknya, solatlah di kawasan Rehat & Rawat (RnR) dan jika sesak, tiada masalah melakukannya di mana-mana tempat yang suci,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Twitter miliknya baru-baru ini.

Solat di lorong kecemasan
SEBAIKNYA, berhentilah di kawasan RnR dan tunaikan solat di kawasan berkenaan.

Jika solat itu melibatkan solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak, kata Ustaz Muhammad Fahmi, tiada masalah jika kita ingin melakukan solat jamak dan qasar.

(Artikel berkaitan: Jangan solat di lorong kecemasan lebuh raya! Bahaya menanti!)

Andai kata waktu tidak mengizinkan seperti solat Subuh yang mempunyai tempoh singkat dan kita masih terperangkap dalam kesesakan, jelas beliau, ada dua perbahasan ulama dalam hal ini untuk melakukan solat dalam kenderaan.

Iklan

“Cuma jika diikutkan dalil, Rasulullah SAW hanya melakukan solat sunat sahaja di atas unta. Adapun solat-solat wajib, baginda akan turun daripada kenderaan dan lakukannya di atas tanah.

“Ada juga pendapat dalam Mazhab al-Syafi’e untuk melakukan solat hormat waktu dalam keadaan-keadaan sebegini. Cumanya, sebaik sampai ke destinasi, solat ini wajib diqadakan semula.

“Namun, saya lebih cenderung tak boleh solat fardu dalam kereta. Keduanya, memang solat hormat waktu dibuat dalam keadaan antaranya tiada air untuk berwuduk atau mandi wajib,” jelas beliau.

Iklan

Justeru, berhati-hatilah ketika memilih tempat solat yang sesuai. Ya, memang solat kita sah selagi rukunnya sempurna dan memenuhi syarat-syarat sah solat.

Namun begitu, jangan abaikan faktor keselamatan diri yang perlu diutamakan.

Sumber: Twitter @fahmirusli