ALANGKAH manisnya kita melihat wanita Muslimah bertudung. Bukan sekadar cantik dan mengikut syariat, tetapi menutup apa yang tidak sepatutnya diperlihatkan kepada lelaki yang bukan muhrim.

Secara umumnya, hijab atau tudung bermaksud pakaian yang menutup aurat wanita Muslimah pada bahagian kepala dan sekitarnya.

Sebaliknya, satu lagi istilah yang sering diguna pakai ialah dehijabing. Ia merujuk kepada perbuatan Muslimah yang memilih untuk tidak bertudung.

Dalam konteks Malaysia, isu dehijabing menjadi kontroversi apabila sebuah kumpulan menganjurkan program Malay Women and Dehijabing pada 13 April 2019. Ia menampilkan tiga wanita Islam yang membincangkan dan berkongsi pengalaman mereka tidak memakai tudung.

Pada majlis tersebut juga, sebuah buku bertajuk Unveiling Choice tulisan salah seorang daripada mereka dilancarkan.

Program itu mendapat bantahan awam dan turut disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tujuannya seolah-olahnya cuba menyampaikan mesej bagi mengajak atau berkempen agar wanita Muslimah tidak takut untuk tidak bertudung.

Ketahuilah bahawa menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim yang mukalaf. Aurat bagi lelaki adalah antara pusat sehingga lutut. Aurat perempuan pula adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan.

Ia bermaksud, tudung adalah sebahagian daripada pakaian untuk menutup aurat pada kepala dan sekitarnya.

Kewajipan itu disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Firman ALLAH SWT: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Malangnya, pendukung dehijabing mendakwa bahawa al-Quran tidak pernah menyatakan rambut atau kepala wanita Muslimah perlu ditutup, sebaliknya ayat al-Quran di atas dan ayat-ayat yang lain menyebut, kain tudung (kerudung) kepala perlu dilabuhkan untuk menutup dada sahaja.

Dakwa mereka lagi, pemakaian tudung dalam kalangan wanita Muslimah di Malaysia adalah bersifat budaya tempatan semata-mata, bukan tuntutan atau ajaran agama Islam.

Bersandarkan dakwaan tersebut, dapat difahami bahawa pendukung dehijabing memilih untuk tidak bertudung kerana mendakwa ia bukan suatu dosa dan tidak disebutkan dalam al-Quran.

Sebaliknya mereka mendakwa kewajipan bertudung itu adalah tafsiran ulama semata-mata yang dipengaruhi oleh budaya tempatan.

DALAMI isi kandungan al-Quran dengan baik demi memahami makna yang mahu disampaikan ALLAH SWT menerusi kalam-NYA.

Penting fahami al-Quran

Kenyataan itu sebenarnya jelas menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja tidak memahami ayat al-Quran tersebut bahkan tidak memahami pengertian aurat dan tudung.

Kecetekan ilmu tentang perkara itu membuatkan hujahan mereka tersasar daripada kebenaran. Paling menyedihkan, mereka seolah-olah tidak mempedulikan semua itu.

Sebaliknya, terus menuduh dan mengkritik pihak berkuasa agama menggunakan kekerasan dan paksaan. Hakikatnya, pihak berkuasa agama hanya bertindak sebagai ‘polis moral’.

Tidak terhenti di situ, mereka terus mencipta alasan demi alasan. Kali ini, mereka berhujah bahawa Islam tidak bersifat memaksa ke atas umatnya termasuk tidak memaksa wanita Muslimah memakai tudung.

ALLAH SWT berfirman: “Tiada paksaan dalam agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa ingkar kepada taghut dan beriman kepada ALLAH, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali amat kuat yang tidak akan putus. Dan ALLAH MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah: Ayat 256)

Dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar, tafsiran ayat itu sebenarnya merujuk kepada tidak ada paksaan ke atas bukan Islam memeluk agama Islam. Ini bermaksud, ayat digunakan oleh pendukung dehijabing tersebut adalah tidak berkaitan sama sekali dengan isu sebenar. Jelas ayat itu diambil di luar konteks perbincangan.

Bukan itu sahaja, ayat itu juga acap kali disalahgunakan oleh pendukung liberalisme dan pluralisme agama yang memperjuangkan idea murtad. Kononnya agama Islam, berdasarkan ayat di atas, tidak melarang umatnya meninggalkan agama Islam (murtad) kerana ia hak asasi individu yang diiktiraf sebagai kebebasan mutlak setiap manusia.

Tanpa kita sedari, fahaman songsang sebegini sangat berbahaya kepada pemikiran umat Islam khususnya di Malaysia. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani isu dehijabing secara lebih menyeluruh. Tidak memadai dengan tindakan daripada pihak berkuasa agama semata-mata.
​​​​​​​
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Foto: 123rf