Usah lepaskan peluang berdoa, bermunajat pada malam nisfu Syaaban hari ini

Doa dan munajat pada malam nisfu Syaaban
April 8, 2020
Oleh Nurulfatiha

TERBENAMNYA matahari pada hari ini menandakan bahawa masuknya malam nisfu Syaaban. Ini bererti, kita sudah berada pada setengah purnama dalam bulan Syaaban.

Sesungguhnya, malam nisfu Syaaban mempunyai keutamaan dan kelebihannya yang tersendiri.


Ia merupakan antara bulan hijri yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan, selain menjadi petanda yang amat dirasai oleh seluruh umat Islam sebelum kehadiran Ramadan.

Meskipun negara kita dan seluruh dunia dilanda ujian dan musibah wabak koronavirus (Covid-19), ia tidak menghalang kita untuk melakukan ibadah di mana sahaja kita berada termasuk di dalam rumah.

Malah, amatlah wajar jika bulan Syaaban yang penuh dengan keberkatan itu diisi dengan munajat dan doa untuk memohon pertolongan daripada ALLAH SWT.

Iklan

Menyedari tentang hakikat itu, Jabatan Agama Islam Selangor menerusi Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad mengeluarkan arahan supaya munajat khas diadakan sempena malam nisfu Syaaban di masjid dan surau negeri Selangor. Ia juga bakal dijayakan oleh umat Islam di dalam kediaman masing-masing.

Doa dan munajat pada malam nisfu Syaaban
AYUH bersama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT agar diampunkan dosa serta ‘diangkat’ segala musibah penyakit yang sedang melanda dunia ketika ini.

Kaedah pelaksanaannya adalah seperti berikut:

1. Imam yang dijadualkan akan mengalunkan zikir munajat dan membaca doa melalui pembesar suara luar masjid atau surau.

2. Pelaksanaan munajat dibuat selepas solat fardu Maghrib pada 8 April 2020 bersamaan 15 Syaaban 1441 Hijrah.

3. Ahli kariah akan mengikuti alunan zikir munajat dan mengaminkan doa yang dibaca di kediaman masing-masing.

4. Ahli-ahli kariah yang tidak dapat mendengar dari masjid, surau ataupun musolla hendaklah turut berzikir dan mengaminkan doa yang disiarkan langsung melalui Facebook Live Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Kepada semua penduduk di Selangor atau sesiapa sahaja, ayuhlah kita bersama-sama bermunajat kepada ALLAH pada malam yang penuh keberkatan ini.

Berdoalah dan mohonlah pertolongan daripada-NYA agar kita keluar daripada musibah yang sedang dihadapi ketika ini.

Iklan

Semoga segala amal yang kita lakukan diterima oleh-NYA.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis