MOMEN ketika kecil merupakan saat yang pasti akan dikenang sampai bila-bila. Apa tidaknya, dunia kanak-kanak hanya memusatkan kepada aktiviti untuk bermain.

Itulah antara cara untuk kanak-kanak meneroka dunia sekeliling mereka dan membantu dalam perkembangan diri kita.

Kemudian kita melalui zaman remaja, alam dewasa hinggalah berusia lanjut.

Ya, manusia mempunyai tahap-tahap atau fasa tertentu dalam hidup. Pasti ada hikmahnya mengapa ALLAH SWT mengaturkannya begitu.

Kepada mereka yang meniti usia 30-an, perasan atau tidak, ALLAH uji kita dengan pelbagai macam jenis ujian.

Jelas pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan, usia 30 tahun hingga 39 tahun adalah waktu kemuncak ujian hidup.

IMAM MUDA HASSAN

Ia tidak sama sepertimana yang kita lalui ketika berusia 20 tahun hingga 29 tahun.

“Waktu umur 20 hingga 29 tahun, waktu ni waktu sibuk study, sibuk nak cari jodoh, kalau dah berkahwin baru merasa menimang cahaya mata.

“Waktu usia ni banyak yang enjoy, menikmati kehidupan. Baru nak merasa nak ada rumah, nak ada kereta sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sebaik sahaja usia menginjak ke angka 30-an, kata Imam Muda Hassan, pelbagai ujian berat mula datang satu persatu.

“Anak makin dewasa macam-macam perangai, gaji semakin besar dah sibuk dengan kerjaya sampai tak ada masa dengan famili.

“Ada yang dibuang kerja sebab tak perform. Hidup mula tertekan sebab anak nak sekolah, nak bayar duit ansuran rumah dan macam-macam hal:

– Kereta mula meragam.

– Rumah mula nak bocor sana sini.

– Yuran sekolah anak makin naik.

– Mula banyak orang benci kita.

– Hubungan dengan mertua.

– Isteri mula merungut tak cukup makan.

– Suami stres gaji kena potong.

– Rumah tangga mula goyang.

– Badan mula sakit sana sakit sini.

– Badan dah tak fit.

Iklan

– Bawa kereta cepat mengantuk.

– Hutang keliling pinggang.

– Ah long mula kejar.

– Hubungan adik-beradik mula renggang.

“Cukuplah tu, nak disenaraikan tak habis cerita,” kongsinya.

Katahuilah bahawa semua ujian yang ditempuh sebelum usia 40 tahun itu adalah satu fasa tarbiah ALLAH kepada hamba-NYA, terang beliau.

Tambah beliau lagi, ia supaya rohani kita kuat untuk menempuh hidup pada usia 40 tahun sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

“Ujian tu sebab ALLAH sayang supaya kita menang untuk menempuh usia 40 tahun,” katanya.

Firman ALLAH SWT: “…Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang ENGKAU redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Iklan

Berdasarkan kalamullah itu, Imam Muda Hassan berkata, ayat itu menjelaskan bahawa umur 40 tahun adalah umur yang matang. Ini kemuncak umur keislamannya dan itu jugalah umur yang mana Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul.

Ibn Abbas RA meriwayatkan, “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”

“Jadi memang sungguh ALLAH sayangkan kita, DIA tak nak kita kalah dengan ujian supaya kita tak diheret ke neraka, wal’iyazubillah min zalik.

“Pandanglah ujian itu sebagai rahmat dan kasih sayang ALLAH pada kita sebab DIA nak bagi kita syurga.

“Bertenanglah wahai jiwa yang diuji,” nasihat beliau.

Justeru, apa jua ujian yang hadapi, sabar adalah jalan yang terbaik. Didik hati agar menjadi orang yang sabar dalam setiap perkara.

Sumber: Facebook Imam Muda Hassan