APABILA seseorang itu meninggal dunia, lazimnya waris akan meminta sesiapa sahaja yang mempunyai urusan hutang dengan si mati untuk berhubung dengan mereka.

Apatah lagi, jika si mati itu masih mempunyai tunggakan hutang yang masih belum sempat dijelaskan ketika hayatnya.

Maka, warislah yang akan melunaskan bagi pihak si mati. Apa tidaknya, hutang itu merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan sekalipun individu berkenaan sudah tiada lagi di dunia.

Bahkan, ada satu riwayat hadis menyatakan bahawa roh orang yang meninggal dunia tersebut akan tergantung selepas kematiannya selagi hutang tidak dijelaskan.

Ya, demikianlah jika kita berhutang dengan manusia. Namun begitu, andai kata kita masih berhutang dengan ALLAH pula saat kita sudah meninggal dunia, bagaimana?

Umpamanya, puasa bulan Ramadan yang tidak sempat digantikan, namun sudah dipanggil menemui Sang Pencipta buat selama-lamanya. Wajibkah waris iaitu anak-anak menggantikan puasa ibu bapanya yang telah meninggal dunia?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah menjelaskan, terdapat dua persoalan yang kita perlu tahu dalam hal itu.

DA’I SYAFIQAH

Pertama, jelasnya, sekiranya si mati tidak mengqada puasanya kerana uzur yang berterusan dan tiada ruang yang memungkinkannya untuk menggantikan puasanya.

“Umpamanya, sakit, musafir, nifas, hamil ataupun uzur yang berterusan sehinggalah meninggal dunia, maka tidak wajib untuk anak-anaknya menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh si mati atau membayar fidyah.

Iklan

“Namun, dalam keadaan kedua, sekiranya si mati berkemungkinan boleh mengqadakan puasa yang ditinggalkan dan ada ruang untuknya untuk menggantikan puasanya, namun dia tidak berbuat demikian kerana uzur atau sengaja sehingga meninggal dunia, maka anak-anaknya bolehlah memilih sama ada untuk mengqada puasa yang ditinggalkan si mati ataupun membayar fidyah untuknya,” katanya.

Ia sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA, telah datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan. Adakah aku perlu menggantikannya?”

Nabi Muhammad menjawab: “Adapun hutang ALLAH itu lebih berhak untuk dilunaskan.” (Riwayat Abu Daud)

Justeru, sebagai anak, kita perlu ambil tahu tentang perihal ibu bapa lebih-lebih lagi ketika mereka masih hidup.

Iklan

Andai kedua orang tua kita telah tiada, jalankanlah tanggungjawab kita sebagai anak soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan buat insan kesayangan masing-masing.

Foto: Bernama