HATI bagaikan ditusuk duri saat diberitahu bahawa dirinya hanyalah anak angkat. Sukar untuk menerima hakikat daripada perkhabaran itu. Pelbagai jenis perasaan dirasai ketika itu.

Pelbagai persoalan menerjah dalam ruang fikiran. Masakan tidak, sejak dari bayi lagi hinggalah usianya menginjak ke angka 20-an, orang lain yang menjaganya.

Malah, tidak pernah kurang pun kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu dan bapa angkat tadi hinggakan tidak perasan langsung bahawa rupa-rupanya dirinya selama ini hanyalah merupakan anak angkat sahaja.

Meskipun hati seakan berat mahu menjejaki ibu kandung sendiri, tetapi dirinya seolah-olah tidak mampu juga untuk menidakkan perasaan yang meluap-luap mahu mengenali insan yang telah melahirkannya.

Setelah jejaknya dikesan, rupa-rupanya ibu kandung itu langsung tidak menerima kehadirannya. Malah, turut berkata-kata bukan-bukan tentang dirinya.

Sudahlah hati itu sememangnya luka. Maka, makin bertambahlah kesan luka akibat kehadirannya tidak diterima oleh ibu kandung tadi.

Barangkali kita hanya mendengar kisah-kisah sedih ini menerusi drama yang ditonton di televisyen. Sedangkan, dalam dunia realiti pun, perkara itu ada yang berlaku.

Jika kita berada dalam situasi tersebut, apakah yang perlu kita lakukan? Sebagai anak kandung, perlukah kita mendoakan kesejahteraan ibu kandung tadi dalam doa kita, sedangkan dia secara terang-terangan membuang kita dalam hidupnya?

Merungkaikan jawapannya, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, sebagai  anak kandung kepada ibunya, tidak akan pernah terhenti tanggungjawab kita terhadapnya.

DA’I SYAFIQAH

Ia sekalipun wanita yang telah melahirkan kita itu sudah meninggal dunia dan kita dijaga oleh orang lain sejak kecil, terangnya.

“Ibulah yang telah mengandungkan kita selama sembilan bulan 10 hari. Ditambah pula dengan penat lelah dan alahan ketika kita berada dalam kandungannya.

Iklan

“Semua itu tidak terbalas jasanya. Pengorbanan itu tidaklah sama dengan jagaan ibu angkat,” katanya.

(Artikel berkaitan: Syurga di bawah telapak kaki ibu… Berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan)

Justeru, katanya, semua itu jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab kita untuk berbakti kepada ibu kandung perlu berterusan sehingga beliau meninggal dunia.

Iklan

“Walaupun ibu kandung tadi seolah-olah menolak diri kita dalam kehidupannya dan tidak menerima kita seperti anak kandungnya, apa yang perlu kita lakukan adalah jangan pernah berhenti menjalankan tanggungjawab kita untuk mendoakan kesejahteraannya dalam doa kita.

“Pada masa sama, berdoalah kepada ALLAH agar DIA melembutkan hati ibu kita. Semoga suatu hari nanti, ibu kita lembut hati untuk menerima kita seadanya dalam kehidupannya,” nasihat beliau jika kita menghadapi situasi seperti di atas.

Ingatlah, tanpa ibu bapa, tiadalah kita dilahirkan di dunia ini. Kenanglah kebaikan kedua orang tua kita walaupun sebesar zarah, apatah lagi apabila mereka sanggup bertahan ketika mengandungkan kita.