SEDAR akan ketelanjuran diri dalam perilaku dan menuturkan bicara, memohon maaf adalah jalan terbaik.

Malah, hati juga akan berasa tenang dan lapang apabila kita memohon kemaafan daripada individu berkenaan.

Namun, adakalanya permohonan maaf kita tidak diterima meskipun kita sudah memohon maaf kepadanya. Barangkali hati individu berkenaan masih terguris dengan tindakan kita hingga sukar untuk dimaafkan.

Dalam situasi ini, adakah kita dianggap masih lagi berdosa meskipun sudah meminta maaf?

Apakah lagi yang perlu kita lakukan selepas itu untuk meraih kemaafan daripada individu berkenaan?

Menurut pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen, agama Islam menganjurkan kita untuk saling memaafkan kerana Islam itu adalah agama perdamaian.

Iklan
DA’I ADNEEN

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka perbaikilah, damaikanlah hubungan antara kedua saudara itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Bagaimanapun, sekiranya kita sudah meminta maaf, namun tidak dimaafkan, Da’i Adneen menjelaskan, kita sebenarnya sudah pun melepasi satu tanggungjawab besar iaitu meminta maaf.

“Andai tidak dimaafkan, pertama muhasabah diri dan bertaubat serta berazam bersungguh-sungguh tidak mengulangi kesalahan tersebut.

“Seterusnya, berdoalah kepada ALLAH supaya ALLAH menggerakkan hati orang tersebut untuk memaafkan diri kita,” katanya.

Bagi mereka yang sukar untuk memaafkan orang lain, renungkanlah firman ALLAH SWT ini: “Maka maafkanlah mereka dan lapangkanlah dada, sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-Maidah, ayat 13) 

Iklan

Ketahuilah, ALLAH begitu memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi ALLAH turut akan menurunkan ketenangan itu kepada kita.