[VIDEO] Belajar mengaji tak sesukar dulu, online kan ada… Ini hukumnya yang perlu kita tahu

Belajar mengaji online
October 23, 2020
Nurulfatiha

PADA zaman dahulu, apabila hendak belajar mengaji, kita perlu mengikuti kelas mengaji. Pada waktu itu, ramai yang belajar mengaji di rumah-rumah ustaz, surau atau masjid.

Pasti ramai yang terkenang saat ketika belajar baru mengenal alif ba ta menerusi Muqaddam ataupun Iqra’.

Apabila diimbas kembali, memang seronok apabila kita bersama rakan-rakan seusia berjalan beramai-ramai menuju ke rumah ustaz atau rumah ALLAH.

Namun begitu, situasi tidak sama seperti pada hari ini. Masakan tidak, zaman telah berubah. Kita sudah memasuki era milenial.

Banyak kemudahan teknologi tanpa sempadan. Malah, sekalipun tidak ke rumah guru atau masjid, kita masih lagi boleh belajar mengaji di mana-mana sahaja.

Bahkan, dengan telefon pintar masing-masing juga sudah boleh mengaji. Tambahan pula dengan banyak kumpulan WhatsApp dan Telegram untuk belajar al-Quran diwujudkan sekarang. Guru boleh menyemak bacaan kita tanpa sebarang masalah.

Persoalannya, apakah hukumnya kita belajar mengaji dan al-Quran secara online? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Persoalan itu dilontarkan kepada pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah.

DA’I SYAFIQAH

Ujar beliau, belajar mengaji secara online menerusi WhatsApp, Telegram, Facebook dan sebagainya merupakan satu wasilah untuk mendapatkan ilmu mempelajari al-Quran dengan menggunakan teknologi yang ada pada hari ini.

“Antara kaedah pembelajarannya adalah sama ada tenaga pengajar akan membaca al-Quran melalui siaran langsung ataupun melalui Video Call atau Telegram Call.

“Ia adalah salah satu cara usaha untuk memudahkan lagi masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran,” katanya.

Jelas beliau, ALLAH SWT akan memberikan kemuliaan kepada mereka yang belajar al-Quran serta mengajarkannya.

Pendakwah itu turut mengemukakan sebuah hadis masyhur bagi menyokong hujahnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

(Artikel berkaitan: Wajib berguru walaupun belajar ngaji online)

Walaupun belajar mengaji secara online, Da’i Syafiqah menegaskan, paling penting ketika kita belajar dan mengaji secara online adalah dengan mengikut kaedah yang betul iaitu mempelajari al-Quran dengan cara berguru ataupun secara bertalaqi.

“Ia berdasarkan peristiwa yang mana Nabi Muhammad SAW diajar oleh Malaikat Jibril AS  secara bertalaqi.

“Dari segi hukum mempelajari al-Quran dalam talian, ia dibolehkan. Platform itu memberikan ruang kepada masyarakat iaitu umat Islam untuk sentiasa mendalami ilmu al-Quran tanpa mengira masa dan di mana jua.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah dengan kaedah berguru ataupun bertalaqi tersebut kerana kita boleh menyemak bacaan dan memperbaiki tajwid serta bacaan supaya menjadi lebih baik,” jelas beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Apa-apapun pastikan kita memilih guru yang betul. Ini pun penting juga supaya apa yang kita pelajari dan diamalkan itu boleh mendatangkan manfaat serta pahala kepada diri sendiri.

Foto: Bernama

About Nurulfatiha

Biodata Penulis