SEGELINTIR orang tidak sempat lagi akikah ketika masih kecil. Barangkali kesempitan hidup ibu bapa dan keluarga menyebabkan ibadah berkenaan tidak dapat dilakukan pada waktu itu.

Begitupun, apabila usia telah meningkat dewasa, terasa mahu melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri pula kerana tidak berpeluang merasainya ketika kecil.

Namun, agak canggung mahu berbuat demikian. Apa tidaknya, ibadah akikah lazimnya dilakukan ketika seorang anak itu masih bayi atau kecil. Malah, ia sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa masing-masing.

Namun begitu, kekangan yang dihadapi membuatkan seseorang itu tidak dapat melaksanakan ibadah akikah berkenaan.

Bolehkah andainya kita melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri apabila sudah dewasa kerana faktor kemampuan ibu bapa ketika masih kecil?

Sebelum mengulas lebih lanjut, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen menjelaskan, ibadah akikah merupakan penyembelihan haiwan tertentu sebagai tanda syukur kita kepada ALLAH SWT atas kelahiran cahaya mata.

DA’I ADNEEN

 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya, maka tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Iklan

Menjelaskan hukumnya, Da’i Adneen berkata, ibadah berkenaan adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut bagi mereka yang berkemampuan.

“Apabila seseorang itu meninggalkan ibadah akikah dalam keadaan dirinya berkemampuan atau tanpa sebarang keuzuran, maka hukumnya adalah makruh.

(Artikel berkaitan: Sembelih dua ekor kambing berasingan untuk anak lelaki, adakah masih dikira sebagai akikah?)

“Sekiranya seseorang itu meninggalkan ibadah akikah ini kerana tidak berkemampuan atau kerana keuzuran, maka ia tidak makruh dan juga tidak haram,” terang beliau.

Iklan

Justeru, katanya, bagi orang dewasa yang ingin membuat ibadah akikah kepada dirinya kerana tidak lagi akikah sewaktu kecil, maka hukumnya adalah sunat sekiranya berkemampuan.

Semoga jawapan ini mampu meleraikan segala kekusutan kita. Jangan risau untuk melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri meskipun kita sudah dewasa.