[VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar...

Ditimpa ujian
March 12, 2021
Oleh Nurulfatiha

TATKALA dihimpit dengan ujian, jiwa mudah gelisah dan hati menjadi resah. Runsing memikirkan keadaan diri.

Bukan itu sahaja, ada segelintir orang pula mudah melenting dengan ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT. Masakan tidak, ketika itu memang emosi kita agak rapuh.

Apatah lagi jika ia melibatkan ujian yang besar dalam hidup. Benar, kita hanyalah manusia biasa. Perasaan sedih itu memang menjadi lumrah bagi setiap insan.

Namun begitu, usahlah kita terus-terusan bersedih apalagi seolah-olah bersikap menyalahkan takdir.

Islam sebenarnya sudah menyediakan garis panduan dalam kita menghadapi ujian.

Ujar Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd Rahman, tiada masalah untuk kita melihat semula ujian yang dialami.

AHMAD HUSNI

Namun, pada masa sama, beliau mengajak kita berfikir ke hadapan kerana itulah sebenarnya yang harus kita perbaiki.

Iklan

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

“Jika dilihat, semua ujian itu ada disebut dalam al-Quran termasuklah perihal perbendaharaan, kekayaan dan perniagaan.

Iklan

“Semua perkara itu berkait rapat dengan kehidupan kita dan dengan perkara itu jugalah setiap manusia akan diuji,” katanya.

Baca juga Covid-19 ujian daripada ALLAH SWT, jangan sesekali kritik apalagi mengeluh

Andai kita mendapat ujian, Ahmad Husni menasihatkan agar umat Islam tidak memaki hamun waima melenting dengan sewenang-wenangnya.

“Setelah itu, kita tiba-tiba mengaku ‘mujur saya sabar’. Ketahuilah, itu bukan sabar dalam erti kata sebenar.

“Sebenarnya, sifat sabar itu perlu ada saat pertama kali kita ditimpa ujian berkenaan.

Ditimpa ujian
BERSABARLAH andai diri ditimpa dengan ujian.

“Ketika itu, kita berfikir dan kembali kepada ALLAH SWT kerana segala perkara yang direncanakan itu adalah hak ALLAH,” ujarnya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar kita hiasilah diri dengan sifat sabar kerana ganjarannya yang bakal diraih bukan calang-calang.

“Mereka yang bersabar itu bukan sahaja akan mendapat pujian ALLAH, bahkan akan memperoleh rahmat-NYA.

“Satu lagi bonus, golongan itu bakal diberikan hidayah untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.

Subhanallah, begitu besarnya imbalan kepada mereka yang sabar dan reda atas ujian yang diberikan. Mudah-mudahan kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi dalam setiap perkara.

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis