SEBAGAI anak, menjadi kewajipan kepada kita untuk berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Selain menyantuni mereka, antara yang sering dilakukan adalah berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan orang tua kita.

Apatah lagi, jika kedua-dua ibu bapa kita sudah menemui Sang Pencipta. Sesungguhnya, doa anak soleh yang akan mengalirkan pahala meskipun kedua-duanya sudah meninggalkan dunia yang fana ini.

Bagi mereka yang mempunyai ibu bapa bukan Islam, tuntutan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa masih lagi perlu dilakukan. Ini kerana mereka tetap darah daging kita walaupun berbeza agama.

Bagaimana pula dengan doa? Bolehkah kita mendoakan ibu bapa yang bukan Islam?

Masakan tidak, jika diamati semula doa untuk kedua ibu bapa, ungkapan doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, ampunilah kedua orang tuaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihaniku sejak kecil”.

Apakah doa ini boleh dibacakan untuk ibu bapa saya yang bukan Muslim?

Menurut pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah, terdapat dua keadaan yang perlu diketahui.

DA’I SYAFIQAH

Pertama katanya, para ulama bersepakat, mendoakan orang bukan Islam untuk mendapat keampunan dan rahmat daripada ALLAH serta urusan-urusan berkaitan akhirat adalah tidak dibenarkan.

“Namun, dalam keadaan kedua, ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam untuk diberikan hidayah adalah harus dan dibenarkan,” katanya.

Bahkan, tambah Da’i Syafiqah lagi, Rasulullah SAW pernah melafazkan doa untuk ibu Abu Hurairah RA: “Ya ALLAH, berikanlah hidayah untuk ibu Abu Hurairah.” (Riwayat Muslim)

Iklan

“Ini menunjukkan bahawa Islam mengajar kita untuk mendoakan orang bukan Muslim yang tidak menentang Islam agar diberikan hidayah oleh ALLAH SWT.

“Berbalik kepada soalan, seorang anak mualaf tidak dibenarkan mendoakan ibu bapanya yang bukan Islam agar orang tua mereka mendapat rahmat dan keampunan ALLAH.

“Namun, mereka sangat digalakkan untuk mendoakan ibu dan ayahnya supaya memperoleh hidayah supaya masuk Islam. Jika kedua ibu bapanya masuk Islam, maka anak-anak bolehlah mendoakan rahmat dan keampunan buat orang tuanya,” terang beliau.

Iklan

Tidak kiralah siapa pun kita dan besar mana pun pangkat kita, jangan sesekali sisihkan kedua orang tua yang telah banyak menabur bakti kepada diri kita.