HIDUP dan jalan cerita setiap orang adalah berbeza. Walaupun rambut mungkin sama hitam, tetapi liku-liku kehidupan yang dilalui setiap dalam kalangan kita langsung tidak sama.

Ada orang yang dilahirkan dalam keluarga yang penuh penyayang oleh ibu bapa kandung. Namun begitu, ada segelintir pula dibesarkan oleh ibu dan bapa angkat. Barangkali ibu dan bapa kandungnya sudah tiada lagi di bumi yang fana ini.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita. Itulah sikap yang diajar sejak kita masih kecil.

Malah, agama Islam juga mengajar umatnya supaya berbuat baik dan menghormati insan yang lebih berusia.

Namun begitu, dari segi doa pula, mustajabkah doa ibu angkat? Adakah taraf doa ibu angkat adalah sama dengan ibu kandung?

Menjelaskan persoalan itu, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen memetik sebuah hadis masyhur tentang doa yang dikabulkan oleh ALLAH SWT tanpa dirahui lagi.

DA’I ADNEEN

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang dizalimi, doa orang dalam perjalanan yakni orang yang bermusafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ujar beliau, orang tua yang dimaksudkan dalam hadis itu merujuk kepada ibu dan bapa kandung.

“Sama juga halnya seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis-hadis lain berkaitan dengan seruan terhadap anak-anak untuk melakukan kebaikan kepada ibu bapanya.

(Artikel berkaitan: Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa)

Iklan

“Hak keistimewaan ibu bapa daripada anak-anak yang disebutkan turut merujuk kepada ibu bapa kandung,” terangnya.

Namun begitu, Da’i Adneen menjelaskan, alasan itu bukanlah satu tiket untuk seorang anak berbuat tidak baik kepada ibu bapa angkatnya.

“Bahkan, seorang anak bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan kepada ibu bapa angkatnya sepertimana dia bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan kepada orang di sekelilingnya.

“Sekiranya seorang anak menyakiti hati ibu atau bapa angkatnya, maka bersegeralah memohon maaf. Moga-moga perkara tersebut tidak diulangi lagi,” ujarnya.

Justeru, berbuat baiklah kepada ibu kita tidak kiralah siapa pun mereka. Sekalipun wanita dan lelaki yang membesarkan kita bukanlah orang tua kandung, tetapi mereka menjadi individu penting yang membesarkan dan memberi didikan kepada kita.

Iklan

Foto: Freepik & 123rf