SETIAP bidang pekerjaan yang diceburi pasti ada cabarannya yang tersendiri. Mana-mana kerjaya pun tidak akan terlepas daripada ujian berkenaan.

Begitu jugalah apabila bekerja sebagai penghantar makanan. Pasti mereka akan terkejar-kejar untuk menghantar makanan yang sudah dipesan oleh pelanggan apalagi ketika waktu puncak.

Tambahan pula, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan, ramai yang lebih selesa memesan makanan secara online. Sudah pastilah khidmat penghantaran akan dibuat oleh rider.

Begitupun, adakalanya makanan yang dipesan itu datangnya daripada restoran bukan yang turut menyajikan makanan tidak halal.

Sebagai penghantar makanan yang beragama Islam, bolehkah kita menghantar makanan tidak halal tersebut kepada pelanggan?

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata, perkara berkaitan halal dan haram sangat jelas dan nyata dalam agama Islam.

DR MOHAMAD FITRI

“Apabila berbicara tentang orang Islam menghantar minuman tidak halal seperti arak, sudah jelas individu berkenaan termasuk antara 10 golongan yang berdosa besar,” katanya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW melaknat 10 golongan ini: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat at-Tirmizi)

(Artikel berkaitan: Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…)

Begitu juga halnya jika seorang Muslim menghantar makanan tidak halal. Jelas Dr Mohamad Fitri, ia tetap tidak boleh dan dilarang sama sekali.

“Justeru, kepada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, dinasihatkan untuk memilih sajian yang halal sahaja.

Hantar makanan tak halal

Iklan

“Apatah lagi jika kita menghantar makanan kepada orang Islam sendiri,” jelasnya.

Beliau menambah, kita sebenarnya ada pilihan untuk memilih makanan yang hendak kita hantarkan kepada pelanggan.

“Bukan sebab terpaksa. Ini kerana hakikatnya kita sendiri yang akan memilih jalan hidup masing-masing,” ujarnya.

Iklan

Justeru, berhati-hatilah dalam bab menghantar makanan itu. Jika boleh, elakkanlah hantar makanan yang tidak halal.

Foto: Freepik