[VIDEO] Jangan main petik buah daripada pokok tidak bertuan. Ini dia adab yang Islam ajar jika kita nak manfaatkan buah-buahan tadi

Pokok tidak bertuan
January 22, 2021
Oleh Nurulfatiha

KADANGKALA di tepi jalan raya, kelihatan beberapa batang pokok sedang berbuah lebat. Umpamanya buah rambutan, mempelam dan ciku yang sering kali kita lihat di kebanyakan tempat.

Terdetik juga dalam hati siapalah pemilik tanaman berkenaan. Jika diketahui, pasti sudah lama buah itu dipetik dan dimakan.

Malangnya, pertanyaan itu adakalanya terbiar tanpa jawapan. Maklum sahajalah, mahu memetiknya takut pula orang melabelkan sebagai pencuri.

Apatah lagi ingin dimakan. Sudah terang dan jelas bahawa buah itu pasti milik orang. Bukahkah kita dilarang sama sekali untuk mengambil hak orang lain tanpa izin?

Begitupun, apabila difikir-fikirkan semula, lebih baik buah itu dimanfaatkan daripada dibazirkan begitu sahaja.

Apabila diajukan kepada orang di sekeliling, sedikit hampa kerana tiada tahu siapakah tuan kepada pokok berkenaan.

Andai kita dalam situasi itu, bolehkah kita memetik dan makan buah tersebut tanpa izin.

Iklan

Menurut pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris, terdapat tiga adab yang perlu dipenuhi jika kita ingin memanfaatkan buah daripada pokok yang tidak diketahui siapa tuannya.

DR MOHAMAD FITRI

Sekiranya satu-satu pokok berbuah dan tidak diketahui siapakah gerangan pemiliknya, jelas beliau, paling tidak pun bertanyalah kepada orang di sekeling kawasan itu sekurang-kurangnya (minimum) sebanyak tiga kali.

“Andai mereka mengatakan tidak tahu atau tiada jawapan dan seumpamanya, maka kita dibolehkan untuk memakan buah berkenaan.

“Begitupun, ada syarat yang perlu dipenuhi iaitu kita hanya makan buah berkenaan di situ sahaja. Ia tidak boleh dibawa balik atau dijual sama sekali,” ujarnya.

Pokok tidak bertuan

Dalam pada itu, Dr Mohamad Fitri yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia berkata, paling penting pokok tadi mestilah tidak berada di dalam kawasan berpagar.

Iklan

“Tempat sebegitu adalah simbolik kepada pemilikan seseorang.

“Apa-apapun, berwaspadalah dan jangan mengambil hak orang lain tanpa izin,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Pahala bagi orang yang menanam pokok sewaktu di dunia)

Ingatlah, jagalah adab yang diajarkan oleh Islam. Jangan sampai kita termakan hak orang lain.

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis