ZAMAN milenial kini memudahkan capaian maklumat diperoleh dengan cepat. Apa sahaja informasi yang diperlukan, hampir semuanya boleh diperoleh dengan hujung jari.

Meskipun nampak mudah, namun, kita perlu berhati-hati dalam proses menggali maklumat berkenaan. Maklum sahajalah, ada lambakan maklumat di samping berita palsu sedikit sebanyak mencacatkan informasi yang dikongsikan.

Disebabkan itu, kita perlu berguru dengan mereka yang benar-benar pakar dalam bidang berkenaan. Lebih-lebih lagi hal yang berkaitan dengan ilmu agama dan akhirat.

Bercakap tentang hal itu, pada hari ini, mudah untuk kita mendengar ceramah agama menerusi platform online sedia ada seperti Youtube, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Pahala dengar ceramah di masjid dan YoutubeTambahan pula, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan kini, ramai yang terpaksa duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Jika dahulu, bolehlah mereka menonton secara langsung ceramah agama di masjid-masjid. Namun, kini semuanya terpaksa dilakukan dari rumah.

Dari segi pahala pula, adakah ganjaran pahala yang diperoleh oleh mereka yang mendengar ceramah daripada Youtube sama seperti mereka yang bertandang ke masjid atau surau?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah menjelaskan, ganjaran pahala diperoleh adalah tidak sama. Terdapat beberapa huraian di sini.

DA’I ZAHIRAH

Sekiranya kita ke masjid untuk mendengar ceramah secara bersemuka dengan guru, ujar beliau, individu akan mendapat pahala pakej. Pahala pakej itu merujuk kepada perjalanan seseorang itu yang bermula daripada berjalan ke masjid, beriktikaf dan solat berjemaah bersama imam.

“Kemudian, menuntut pula ilmu secara berhadapan dan bersedekah. Oleh itu, individu berpeluang memperoleh bermacam-macam pahala termasuklah, pahala sampingan dan pahala pakej apabila bertandang ke masjid ataupun surau.

Baca juga Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

“Situasi tersebut berbeza apabila mendengar ceramah baik menerusi YouTube mahupun televisyen. Ganjaran pahala masih diperoleh, tetapi satu sahaja iaitu pahala menuntut ilmu.

Pahala dengar ceramah di masjid dan Youtube
GANJARAN pahala mendengar ceramah di rumah ALLAH lebih besar berbanding menonton menerusi Youtube ataupun televisyen.

“Ibaratnya, manusia bekerja, namun tidak mendapat elaun sampingan seperti elaun makan, elaun kerajinan dan elaun tahunan,” katanya.

Iklan

Pun begitu, Da’i Zahirah menjelaskan, tidak menjadi masalah jika individu memilih sama ada ingin menuntut ilmu menerusi YouTube ataupun pergi ke masjid.

“Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah, adakah kesungguhan dan keinginan belajar tersebut dapat dilakukan secara konsisten?,” soalnya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, beliau mengajak kita kita merenung satu hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menempuh satu jalan menuntut ilmu, maka ALLAH akan mempermudahkan jalan baginya menuju ke syurga ALLAH SWT.” (Riwayat Muslim)

Iklan

“Justeru, marilah kita bersama-sama berbuat kebaikan. Biarpun kebaikan dilakukan itu ganjaran pahalanya tidak banyak, tetapi berkemungkinan kebaikan dan pahala yang sedikit itulah membawa insan ke dalam syurga ALLAH SWT. Insya-ALLAH,” nasihatnya.

Foto: Freepik