SELEPAS mandi, segelintir orang gemar terus mengambil wuduk walaupun ketika itu masih lagi bertuala.

Bugi mereka, mudah untuk terus menunaikan solat nanti. Apatah lagi, jika kita mandi pada waktu-waktu yang dekat dengan waktu solat seperti Subuh dan Asar.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mengambil wuduk dalam keadaan berpakaian tidak sempurna. Dalam erti kata lain, seksi terutamanya apabila hanya bersendirian di dalam rumah.

Persoalannya, sahkah wuduk berkenaan jika kita hanya bertuala atau berpakaian seksi sahaja?

Merungkaikan jawapannya, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen berkata, wuduk berkenaan sah sekiranya ia memenuhi syarat sah wuduk dan rukun wuduk.

DA’I ADNEEN

Jelas beliau, cara berpakaian ketika wuduk sebenarnya tidak termasuk dalam syarat sah wuduk dan rukun wuduk.

Begitupun, suka beliau untuk mengingatkan tentang sifat malu yang diterangkan dalam sebuah hadis masyhur.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat yang lain, baginda SAW bersabda: “ALLAH itu lebih berhak untuk malu terhadap-NYA berbanding malu terhadap manusia.”

Iklan

Walaupun ketika kita mengambil wuduk itu hanya seorang diri dan tiada orang yang nampak keadaan diri, Da’i Adneen mengingatkan bahawa ALLAH SWT tetap melihat kita dalam apa jua keadaan.

“Maka, letakkanlah malu terhadap ALLAH itu adalah yang lebih utama.

Iklan

“Apa-apapun, wuduk itu tetap sah walaupun syarat berpakaian tidak termasuk dalam syarat atau rukun wuduk.

“Cuma, ia bukanlah soal sunat atau wajib, tetapi adalah lebih baik kita menutup aurat ketika mengambil wuduk. Ia sepertimana yang disunatkan untuk kita menutup aurat sebagaimana ketika mandi,” nasihat beliau.

Justeru, sama-samalah kita menjaga dan memelihara kehormatan diri masing-masing. Simpanlah rasa malu kita kepada ALLAH yang MAHA MELIHAT segala apa yang dilakukan.