KADANGKALA niat untuk membeli minuman di kedai atau pasar raya terbantut begitu sahaja.

Apatah lagi melihat minuman yang diingini itu diletakkan dalam peti sejuk yang sama dengan minuman tidak halal seperti arak. Apa yang membezakannya hanyalah rak atas atau bawah.

Walaupun hati meronta-ronta inginkan air itu, namun dari satu sudut yang lain, entah mengapa timbul pula rasa waswas dalam diri untuk membeli, apalagi meminumnya.

Disebabkan itulah kadang-kadang ada segelintir orang lebih suka memilih air yang disusun di rak-rak jualan. Tidak mengapalah jika air itu tidak sejuk sepertimana ia disimpan di dalam peti ais, asalkan diri sendiri yakin untuk meminumnya.

Dalam keadaan ini, sebenarnya bolehkah kita membeli dan minum minuman tin, kotak atau botol yang halal tetapi berkongsi peti sejuk yang sama dengan air arak?

Apakah ada unsur syubhah di situ?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata, syubhah itu hadir apabila kita dibelenggu dengan rasa waswas.

DR MOHAMAD FITRI

“Ya, memang perkara ini sering kali terjadi dalam kehidupan seharian kita.

“Apabila kita ke pasar raya dan melihat minuman halal itu terletak bersebelahan dengan arak, sebenarnya tiada masalah untuk kita mengambil minuman yang sudah pastinya halal.

“Dalam hal ini, ia tiada unsur syubhah. Kita dibolehkan mengambil minuman tersebut dan meminumnya,” katanya.

(Artikel berkaitan: Status gaji bila kerja di hotel yang sajikan arak)

Namun begitu, jelas beliau, seandainya ada unsur-unsur lain misalnya, minuman itu diletakkan dengan kedudukan yang dibezakan oleh rak di atas dan di bawah.

“Jika kemungkinan botol arak itu bocor dan titisan air tadi kena pula pada air kotak di bawahnya, maka jelas ada unsur syubhah di situ.

“Ini kerana kotak itu diperbuat daripada kertas yang bersifat menyerap. Jika beginilah keadaannya, maka tidak dibolehkan untuk kita membeli air kotak halal tadi dan meminumnya,” tegasnya.

Justeru, jika kita tidak nampak nyata unsur-unsur yang jelas ada syubhah di situ, tidak salah untuk kita membeli air kotak, tin atau air botol dalam peti sejuk kedai yang turut menempatkan air arak bersama di dalamnya.

Foto: Freepik & Unsplash