APABILA seseorang itu sudah berwuduk, pastinya mereka akan terus cepat-cepat mendirikan solat ataupun memegang mushaf al-Quran untuk membacanya.

Jarang sekali kebanyakan kita akan melakukan kerja-kerja lain dulu sebelum menyempurnakan ibadah berkenaan.

Begitupun, ada segelintir orang yang lebih gemar dirinya dalam keadaan berwuduk hampir setiap masa. Malah, golongan sebegini akan sentiasa memelihara wuduknya.

Jika terbatal air sembahyang tadi, cepat-cepat sahaja individu seperti itu memperbaharui wuduk mereka. Masakan tidak, ada banyak kelebihan berwuduk antaranya dijauhkan daripada terkena panahan ‘ain yang jahat.

(Artikel berkaitan: Bolehkah keringkan anggota wuduk?)

Sebilangan orang pula ada yang berwuduk, kemudian minum air berperisa seperti kopi sebelum menunaikan solat.

Dalam situasi minum air kopi itu, bagaimanakah status wuduk individu berkenaan? Bolehkah kita meneruskan solat fardu semula selepas minum air kopi tadi?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris menjelaskan, secara asasnya, makan dan minum tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan wuduk.

DR MOHAMAD FITRI

Ujar beliau, wuduk akan terbatal dalam beberapa keadaan iaitu bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram; apa sahaja yang keluar daripada qubul dan dubur iaitu membuang air kecil dan besar; hilang akal sebab gila dan menyentuh kemaluan sendiri.

“Melihat kepada perkara-perkara yang membatalkan wuduk itu, ini bermakna, wuduk seseorang itu tetap sah walaupun ada minum air kopi sebelum itu,” katanya.

Iklan

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa perbuatan makan dan minum tersebut termasuk antara perkara-perkara yang boleh membatalkan solat.

Minum air kopi selepas wuduk
KEPADA yang minum air kopi dan sebagainya selepas berwuduk, berkumur-kumurlah dengan bersih sebanyak tiga kali sebelum menunaikan solat.

“Andai kata, kita minum air kopi atau teh, dikhuatiri sisa minuman berkenaan masih lagi terasa ketika solat yang boleh membatalkan sembahyang berkenaan.

“Sebaiknya, bagi mereka yang minum air kopi dan sebagainya selepas berwuduk, berkumur-kumurlah dengan bersih sebanyak tiga kali sebelum menghadap ALLAH SWT,” nasihatnya.

Iklan

Semoga jawapan itu dapat meleraikan kekeliruan kita selama ini.

Foto: Freepik