[VIDEO] Terima pemindahan darah daripada orang bukan Islam, ini yang perlu kita tahu

Pemindahan darah
October 2, 2020
Oleh Nurulfatiha

SEGELINTIR orang takut apabila melihat jarum dan darah. Apabila nampak sahaja dua perkara tersebut, hati mulalah rasa resah gelisah tidak keruan.

Apalagi mengenangkan diri bakal diambil darah untuk tujuan perubatan. Itu belum lagi cerita orang yang pengsan selepas melihat darah.


Berbicara tentang darah, kita biasa mendengar tentang kempen menderma darah yang boleh menyelamatkan banyak nyawa.

Memang tidak disangkal lagi akan kebaikan menderma darah kepada kesihatan. Malah, ia juga merupakan amalan terpuji dalam agama Islam.

Nemun begitu, masih ada segelintir orang yang musykil tentang derma darah. Lebih-lebih lagi perihal pemindahan darah daripada orang bukan Islam kepada orang Islam.

Iklan

Ada yang waswas untuk menerima darah daripada orang bukan Muslim kerana dikhuatiri mereka pernah memakan makanan yang dilarang di sisi Islam.

Apakah pandangan Islam mengenai perkara ini? Bolehkah kita mendermakan darah kepada orang bukan Islam?

Iklan

Apa pula hukumnya jika menerima darah daripada orang bukan Islam untuk dimasukkan ke dalam badan kita?

Sebelum menjawab persoalan itu, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’I Syafiqah menjelaskan bahawa hukum menderma darah sama ada kepada orang Islam ataupun bukan Islam adalah sunat dan digalakkan.

“Ia dapat memberi bantuan kepada pesakit yang memerlukan dalam keadaan terdesak,” katanya.

Pemindahan darah
MENDERMA darah sama ada kepada orang Islam ataupun bukan Islam adalah sunat dan digalakkan.

Merungkaikan persoalan tentang hukum menerima darah daripada orang bukan Islam yang mungkin ada makan makanan yang haram di sisi Islam seperti khinzir, kata pendakwah itu lagi, hukumnya adalah dibolehkan.

Jelas beliau, ini kerana ia adalah darah dan bukan lagi zat khinzir ataupun ain (essence) khinzir secara total.

“Darah juga terbentuk daripada nutrisi-nutrisi hasil daripada makanan dan minuman yang pelbagai.

“Jadi, tidaklah menjadi kesalahan untuk seseorang yang bukan Islam menderma darah. Sama juga halnya seperti seorang Muslim yang menerima darah daripada orang bukan Islam, tidak salah jika diterima darah berkenaan.

“Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali-4 bahawa menderma darah hukumnya adalah harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam,” terang beliau.

Semoga penjelasan itu dapat meleraikan kekusutan kepada mereka yang keliru sebelum ini.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis