MENGIMBAU kembali masa lalu, teringat pula kenangan ketika belajar mengaji dulu. Hampir tiap-tiap malam berjalan kaki menuju ke rumah ustaz.

Kalau bernasib baik, ibu dan ayah tolong hantarkan walaupun mereka juga berjalan kaki. Jika tidak, terpaksalah jalan seorang diri atau bersama rakan-rakan sekampung berjalan ramai-ramai ke rumah ustaz.

Itu cerita lama yang menjadi saat manis untuk dikenang sehingga hari ini. Tapi sekarang tidak sama lagi macam dulu. Tanpa ke rumah guru atau ke masjid, kita masih boleh belajar al-Quran dan mengaji dengan baik.

Semuanya hanya dengan kemudahan teknologi yang ada pada masa kini. Ia lebih mudah dan menyenangkan kita. Tinggal lagi diri kita sama ada nak atau tak nak mengaji saja.

Tidak kiralah apa cara yang digunakan untuk mempelajari kalam ALLAH itu, apa yang penting adalah usaha kita untuk mendalaminya.

Tapi antara berguru secara maya dengan berdepan memberikan impak yang berbeza. Namun, kita tidak boleh menolak kewujudan teknologi pada hari ini.

Mahu atau tidak, kita harus menerimanya. Apa pandangan Islam tentang belajar al-Quran secara online ini?

Jom ikuti komentar pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman tentang hal ini:

USTAZ MK AZMAN

“Seiring dengan perkembangan teknologi semasa pada hari ini, banyak platform atau guru mengaji yang menawarkan khidmat berguru secara maya untuk membaca dan mendalami kalam ALLAH.

Ketika wabak Covid-19 yang menuntut kita hanya duduk di rumah, platform digitallah yang telah menjadi pilihan.

Antara kaedah pembelajaran secara dalam talian adalah sama ada tenaga membaca al-Quran pada ruangan siaran langsung Facebook Live atau Instagram Live bagi tatapan secara umum atau menyemak bacaan individu tertentu melalui video WhatsApp, Telegram Call, Facebook Messenger dan panggilan telefon.

Usaha murni tersebut ternyata memudahkan capaian masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran. ALLAH SWT akan mengurniakan kemuliaan dan kelebihan kepada mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. 

Ia berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Uthman RA bahawa Rasullullah SAW bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Pengajaran daripada hadis tersebut adalah umat Islam dituntut mempelajari al-Quran dan mengajarkannya sama ada untuk memperbetulkan bacaan, memahami isi kandungan dan beramal segala hukum-hakam yang telah ditetapkan.

Kaedah mempelajari al-Quran adalah dengan cara berguru ataupun bertalaqqi. Ia berdasarkan peristiwa di mana Nabi Muhammad SAW diajar oleh Jibril AS secara bertalaqqi. 

Daripada Fatimah RA berkata, Nabi Muhammad SAW telah berbisik kepadaku: “Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang.”

Sesuai dengan perkembangan teknologi, mempelajari al-Quran secara online tidaklah menjadi masalah kepada kita untuk mempraktikkannya. 

Keharusan mempelajari al-Quran secara online akan memberi ruang kepada umat Islam untuk sentiasa mendalami ilmu al-Quran walaupun dibatasi oleh Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan pergerakan kita untuk menghadiri majlis ilmu,” jelas beliau.

Semak bacaan

Menurut Ustaz MK Azman lagi: “Bagi mereka yang sudah lancar membaca al-Quran, tahu hukum tajwid, makhraj dan sebutan huruf, tiada masalah untuk membaca al-Quran secara sendirian.

Namun dalam tempoh tertentu, individu berkenaan hendaklah menyemak semula bacaan al-Qurannya di hadapan guru. Ini kerana semakin tua dan berusia seorang manusia, maka semakin kurang jelas sebutannya. Sebutan makhraj ketika muda tidak sama sebutannya ketika tua apatah lagi jika gigi seseorang itu pernah dicabut atau luruh.

Belajar ngaji online
BERGURULAH andai diri kita masih belum mahir perihal hukum-hakam ilmu tajwid ketika membaca al-Quran.

Ketahuilah bahawa umat Islam digalakkan untuk sentiasa membaca, mengkaji dan mengamalkan isi kandungan al-Quran sehinggalah dia menemui Pencipta-NYA. Terdapat banyak kemuliaan bagi seseorang yang sentiasa bersama al-Quran. 

Iklan

Umpamanya, dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran. Pada hari kiamat, ia akan memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Sahih Muslim) 

Satu lagi adalah firman ALLAH SWT: Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204)

Bagi mereka yang masih kurang mahir pula dan masih jahil tentang hukum-hakam tajwid, wajib belajar secara bertalaqqi dengan para guru.

Namun kejahilannya itu tidak menghalangnya untuk membaca al-Quran sendirian. Jika bacaannya salah sekalipun, tiada masalah kerana dia sedang belajar. Kesalahannya dimaafkan oleh syarak. Apa yang menjadi masalahnya ialah mereka yang malas belajar al-Quran dan membacanya.

Sebab itulah dalam konteks mempelajari al-Quran, guru begitu penting. Peranan mereka bukan sahaja menunjukkan cara bacaan yang betul, malah guru juga akan melahirkan insan yang sayangkan al-Quran, istiqamah membacanya dengan betul dan mampu mengaji dengan lancar.

Mereka yang belajar tanpa guru akan merangkak-rangkak membaca kalam ALLAH itu. Natijahnya bukan setakat itu sahaja, malah belajar tanpa guru akan melahirkan murid yang kurang beradab.

Bayangkan jika orang itu mengajar kepada orang lain ilmu yang salah dan lebih parah, jika individu berkenaan suka berdebat dengan orang untuk mempertahankan ilmunya yang salah tanpa segan silu serta memperlekehkan orang lain. Inilah yang dikatakan sesat dan menyesatkan.

Iklan

Pesan ulama; “Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan dipelajari”.

Imam Syafie juga pernah menyatakan; “Sesiapa yang tafaqquh dari perut kitab, maka dia telah kehilangan hukum-hakam”.

Bagi menjaga disiplin dan keberkatan ilmu belajarlah ilmu dengan adanya guru. Guru adalah mursyid dan murabbi yang membentuk akhlak dan adab kita. Ilmu yang benar dan diberkati adalah cahaya yang membawa kita kepada kebenaran,” ujar beliau mengakhiri komentarnya.

Sumber: Pendakwah Ustaz MK Azman

Foto: 123rf & Bernama