“KENAPA tak jawab salam tadi? Kalau tak jawab, dosa tau.”

Selalu kita dengar orang di sekeliling berkata demikian, bukan? Ternyata ia bukan kata-kata sembarangan.

Sepatutnya ia diambil sebagai peringatan bersama dan nasihat. Apa tidaknya, memang berdosa sungguh kalau kita tak menjawab salam yang telah diucapkan orang lain.

Nampak macam perkara remeh, tapi hakikatnya dengan ucapan salam inilah ia mengutuhkan pertalian antara kita.

Hendak berikan salam pun kena tengok juga pada tempatnya. Jangan pula berikan salam di hadapan tandas. Tak beradab namanya.

Ketahuilah adab memberi dan menjawab salam yang betul sepertimana diajar oleh agama Islam yang suci ini.

Ya, memberi salam merupakan satu tuntutan dalam agama kerana ia akan mengeratkan pertalian kasih sayang sesama Islam.

Iklan

Daripada Abdullah bin Amr bin Ash RA berkata: “Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Islam manakah yang paling baik.’ Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Memulakan salam adalah sunah dan menjawabnya pula, hukumnya, wajib.

Jika seorang Muslim itu berada dalam kumpulan, maka menjadi sunah kifayah apabila sebahagian daripada mereka sahaja mengucapkan salam. Namun, kesemua mereka dalam kumpulan berkenaan memperoleh sunah salam.

Iklan

Andai kata, seorang Muslim itu bersendirian, maka menjadi fardu ain ke atasnya untuk menjawab salam tersebut.

Pun demikian, jika seseorang berada dalam jemaah, menjawab salam itu menjadi fardu kifayah jika salah seorang daripada mereka menjawab salam berkenaan. Maka, gugurlah dosa terhadap yang lain.

Paling afdal adalah kesemuanya memberikan salam dan masing-masing menjawabnya.

(Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)