TIADA siapa mahukan insan tersayang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Apatah lagi ibu bapa sendiri yang pergi menghadap ILAHI. Namun, siapalah kita untuk menidakkan dan menolak takdir yang tertulis.

Ya, ajal maut semua telah ditentukan-NYA. Sebagai hamba ALLAH yang masih lagi diberi kesempatan mengecapi nikmat dunia kurniaan-NYA, kehidupan tetap perlu diteruskan.

Sebagai seorang anak soleh dan solehah pula, jangan sesekali kita melepaskan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang telah tiada begitu sahaja. Doakanlah kesejahteraan mereka yang pernah mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sejak kecil dengan penuh kasih sayang.

Andai kata, ibu bapa kita meninggal dunia pada bulan Ramadan atau sebelum itu lagi tanpa sempat menggantikan puasa mereka, perlukah ibadah berkenaan diqadakan oleh anak tadi? Cukupkah sekadar kita membayarkan fidyah untuk mereka?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, terdapat dua keadaan yang perlu kita tahu untuk menjelaskan tentang perkara ini.

DA’I SYAFIQAH

Baca juga Batalkan puasa dengan makan atau minum bertujuan jimak elak kafarah. Boleh ke?

Pertama sekali, katanya, jika si mati tidak mengqada puasanya kerana uzur yang berterusan dan tiada ruang yang memungkinkannya menggantikan puasanya. Contohnya sakit, musafir, nifas, hamil ataupun uzur yang berterusan sehinggalah meninggal dunia, maka anak-anaknya tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh si mati ataupun membayar fidyah untuknya.

“Namun dalam keadaan kedua, sekiranya si mati berkemungkinan boleh mengqadakan puasa yang ditinggalkan dan ada ruang untuknya menggantikan puasanya, tetapi dia tidak melakukannya kerana uzur ataupun sengaja sehingga meninggal dunia, anak-anaknya boleh memilih sama ada untuk mengqada puasa yang ditinggalkan untuk si mati ataupun membayar fidyah untuknya,” katanya.

Ganti puasa
JIKA ibu bapa meninggal dunia tanpa sempat menggantikan puasa yang ditinggalkan, maka menjadi tanggungjawab anak-anak untuk melunaskannya atau membayar fidyah mengikut syariat yang ditetapkan.

Ia sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa telah datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan. Adakah aku perlu menggantikannya?”

Iklan

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Adapun hutang ALLAH itu lebih berhak untuk dilunaskan.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa puasa merupakan hutang manusia dengan ALLAH SWT. Jika hutang sesama manusia pun wajib dilunaskan, apatah lagi andai ia melibatkan hutang dengan-NYA. Sudah tentulah ia wajib ditunaikan.

Iklan

Foto: Freepik & Bernama