BERBUAT kebaikan ini sebenarnya tiada masa yang khusus. Bila-bila masa memang boleh buat baik. Kalau boleh, lagi baik andai kita boleh sentiasa lakukan kebaikan.

Tidak kiralah untuk diri sendiri, ibu bapa, adik-beradik, sanak saudara, jiran tetangga mahupun orang di sekeliling kita. Kan seronok, hati kita pun senang.

Lazimnya, ramai yang akan menggandakan amal baik dalam bulan Ramadan. Siapalah yang tak nak kumpul pahala berlipat kali ganda dalam bulan baik, bukan?

Ramai yang suka tertumpu kepada masjid atau surau untuk melakukan kebaikan. Antaranya jadi penyumbang untuk menjamu orang berbuka dan wakaf karpet.

Tapi antara wakaf karpet masjid dan menjamu orang makan dalam bulan puasa, yang manakah lebih afdal untuk kita lakukan andai berhajat untuk menyumbang?

Sebelum pergi lebih jauh lagi, kita perlu faham dulu maksud wakaf dan menjamu orang puasa berbuka.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepada-NYA dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfakkan harta mereka ke jalan ALLAH.

Firman ALLAH SWT: “Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan ALLAH seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA dan ALLAH MAHA LUAS (Kurnia-NYA) lagi MAHA MENGETAHUI”. (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Al-Khatib al-Syarbini berkata, uama telah menafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis tersebut dengan maksud wakaf sepertimana kata Imam al-Rafi’i.

Wakaf karpet dan jamu berbuka
SELAGI mana harta yang diwakafkan itu digunakan, pahala berterusan akan mengalir.

Ini kerana, pahala sedekah jariah terus-menerus mengalir kepada orang yang melakukannya. Sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir seperti mana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Secara ringkasnya, wakaf diertikan sebagai satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan.

Orang yang mewakafkan hartanya akan diberikan ganjaran pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama mana harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.

Ia jelas berbeza dengan sedekah. Sebagai contoh, seseorang mewakafkan RM10 untuk pembinaan masjid atau karpet masjid. Maka, selagi mana masjid atau karpet itu kekal berada di situ, maka selagi itu pahala akan mengalir kepada pewakaf, insya-ALLAH.

Sementara itu, antara contoh sedekah adalah seperti seseorang menyedekahkan RM10 kepada peminta sedekah. Duit RM10 tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli makanan. Setelah makanan tersebut habis dimakan, maka pahala sedekah hanya setakat di situ.

Wakaf karpet dan jamu berbuka
MENJAMU makanan untuk orang berbuka puasa juga antara amalan yang dituntut dan diberikan ganjaran. -Gambar hiasan

Dalam bab menjamu orang berbuka puasa, ada banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa.

Justeru, amat wajar bagi yang berkelapangan rezeki dan harta menjamu mereka yang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Maka, jelaslah bahawa menjamu orang berpuasa makan memang bukan calang-calang pahala yang diterima.

Berdasarkan kelebihan yang ada pada kedua-dua amalan tersebut iaitu berwakaf karpet dan memberi makan orang yang berbuka puasa,  berwakaf adalah lebih diutamakan kerana pahalanya bersifat kekal dan berpanjangan selama mana wakaf tersebut masih dimanfaatkan.

Berbanding dengan kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, pahala sedekah tersebut terhenti setakat itu sahaja.

Apa pun, pilihan terletak di tangan kita. Terpulanglah kita mahu buat yang mana satu. Ikut bajet masing-masing.

Semoga perkongsian ini akan memberikan kefahaman kepada kita dan membuat persiapan sebaik-baiknya demi ‘saham’ dan keuntungan kita di akhirat yang kekal abadi kelak.

(Sumber: Kemusykilan agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)

Foto: Bernama