Walaupun duit sendiri, bukan sewenang-wenangnya kita boleh buat sesuka hati. Hadam dulu penjelasan pendakwah ini

Duit sendiri
January 28, 2021
Oleh Nurulfatiha

SEGELINTIR orang begitu obses dengan perihal harta dan kebendaan. Dunianya penuh dengan materialistik seakan-akan sukar benar dirinya hidup tanpa semua itu.

Lebih parah lagi jika diri menjadi hamba kepada wang sehinggakan sanggup menggadai maruah dan harga diri.

Apalah sangat yang dikejarkan dengan hal-hal berkaitan kebendaan itu. Akhirnya, diri sendiri yang akan terjerat dengan budaya negatif dek kerana sikap sendiri yang terlalu tamak.

Buktinya, sudah banyak kes-kes rasuah, penyelewengan dan seumpamanya yang akhirnya memakan tuan apabila terbongkar.

Itu belum lagi cerita tentang sifat kedekut dengan wang dimilikinya. Bagi mereka, wang itu adalah harta mereka hasil usaha penat lelah bekerja.

Ya, benar asbab kita berusaha, ia akan membuahkan hasilnya. Begitupun, ketahuilah, segala nikmat semua rezeki itu adalah kurniaan ALLAH SWT.

Pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid menegaskan, Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan agar umat Islam tidak menjadi hamba kepada wang dan dirham.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

(Artikel berkaitan: Kaya juga satu ujian. Ini yang perlu kita tahu)

Iklan

Ia sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat: “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba khamisah dan khamilah (sejenis pakaian yang diperbuat daripada sutera. Jika diberi, ia senang, tetapi jika tidak diberi, ia marah.” (Riwayat al-Bukhari)

Ujar pendakwah itu, setiap daripada nikmat keduniaan yang ALLAH SWT kurniakan kepada kita akan dihitung dan ditanya di hadapan ALLAH SWT kelak apabila tibanya hari perhitungan.

Beliau turut memetik kata-kata Imam Abdullah bin Husein bin Thohir yang menyatakan: “Halalnya dunia ini dihisab, haramnya diazab. Kamu akan ditanya tentang nikmat yang ALLAH SWT beri kepada kamu.”

Iklan

“Bukan halalnya dunia itu (bermaksud) kita boleh guna (duit) ikut kita punya suka.

“Ya, kita susah payah cari duit, takkan tak boleh pakai? Silakan pakai, tetapi (kita kena) bertanggungjawab sahaja.

Duit sendiri“(Misalnya), kita dalam syarikat atau yayasan, pasti ada (badan) audit. Kadangkala ada pihak yang memberitahu di sini lebih, di sana ada penyelewengan dan sebagainya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Seperkara, Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan, harta kurniaan ALLAH SWT itu sebenarnya hanya milik-NYA. Cuma kita dilantik sebagai khalifah iaitu pemegang amanah kepada ALLAH SWT untuk menguruskannya dengan baik.

Firman ALLAH SWT: “Berimanlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-NYA dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian ALLAH) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil…” (Surah al-Hadid, ayat 7)

Jelaslah bahawa kalamullah itu memberi peringatan bahawa kita hanyalah wakil kepada harta ALLAH berkenaan, ujar beliau.

“Barangkali ada yang kata ‘eh, aku yang kerja’. Namun, kita kena ingat siapa yang telah memberikan kita otak dan tangan untuk bekerja serta menandatangani cek dan sebagainya?

“Semua itu adalah pemberian ALLAH SWT kepada hamba-NYA. DIA hanya akan tengok apa yang kita buat dengan (hal) keduniaan.

“Silakan hidup mewah dan kaya, tetapi bersedialah untuk bertanggungjawab!,” tegasnya sekali lagi.

Duit sendiriJusteru, jangan main-main dengan harta kekayaan yang diperoleh di muka bumi ini. Memang nampak menyeronokkan apabila dikurniakan kemewahan, namun tanggungjawab kita sebenarnya semakin berat.

Kelak, kita akan ditanyakan ke mana setiap sen yang dibelanjakan. Bersediakah kita dengan jawapannya?

Sumber: Instagram @cocombee & habibalizaenalalhamid

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis