KEPADA mereka yang masih memiliki ibu bapa, bersyukurlah kerana ALLAH SWT masih memanjangkan usia mereka untuk kita mengecapi nikmat kebahagiaan.

Inilah masanya untuk kita berbakti dan berbuat kebaikan kepada insan yang telah mendidik serta membesarkan kita hingga menjadi insan yang berguna.

Walaupun kudrat mereka tidak lagi sekuat dahulu ketika zaman mudanya, namun sebagai anak, usah culas dengan tanggungjawab tersebut.

Meskipun ada dalam kalangan kita mempunyai orang tua yang mungkin sudah nyanyuk, bersabarlah melayan kerenah mereka sebagaimana kedua-dua ibu bapa melayan ragam kita sewaktu kecil.

Seandainya ibu bapa sudah nyanyuk, bagaimana kewajipan solat ke atas mereka? Berdosakah jika mereka tidak menunaikan solat?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Datuk Ustaz Kazim Elias menjelaskan, antara satu syarat untuk melakukan ibadah yang difardukan adalah taklif berkaitan sesuatu hukum dan sempurna akal.

“Nyanyuk adalah kategori yang tidak lagi dikatakan sebagai taklif dan tidak sempurna akalnya.

“Jika disahkahkan oleh pihak yang pakar bahawa ibu bapa kita sudah nyanyuk atau tidak waras, maka bebaslah mereka daripada perkara-perkara (menunaikan kewajipan) tadi,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi video dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Ibu bapa nyanyuk

Bagaimana pula hukumnya jika kita tidak menjawab pertanyaan berulang-ulang daripada ibu bapa yang nyanyuk tadi? Adakah anak itu dikategorikan sebagai derhaka?

Merungkaikan jawapannya, Ustaz Kazim menjelaskan, tidaklah jatuh derhaka seandainya anak tadi tidak menjawab soalan sama yang berulang kali ditanyakan oleh kedua ibu bapa yang nyanyuk.

“Namun, itulah cabaran buat diri kita. Walaupun mungkin emak sudah nyanyuk dan akalnya sudah tidak cerdas macam dahulu, tetapi kita tetap kena berbuat baik dengannya dan berikan layanan terbaik.

“Inilah cabaran terbesar. Apabila ibu sihat, kita boleh jaga, apatah lagi mereka sudah uzur, tidak sihat dan akalnya pula sebegitu.

“Banyak-banyakkanlah bersabar andai ALLAH SWT menguji kita sedemikian. ALLAH SWT sudah menyatakan, siapa yang panjang umurnya, mereka akan jadi seperti awal-awal kejadiannya,” ujarnya.

(Artikel berkaitan: Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa)

Beliau mengingatkan, ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati mereka selagi mana perkara yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan syarak.

Iklan

“Ini kerana ibu bapa telah mencurahkan jasa bakti yang amat besar kepada anak-anak sehingga mereka berkorban nyawa, tenaga dan harta.

Ibu bapa nyanyuk“Ketahuilah, berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul.

“Ingatlah, antara nikmat yang ALLAH berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Jadi, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka,” nasihat beliau.

Iklan

Beruntunglah kita masih mempunyai ibu bapa lagi di dunia ini. Andai mereka telah tiada, titipkanlah doa buat mereka yang telah bersusah payah membesarkan kita.

Semoga doa anak yang soleh dan solehah akan menjadi ‘tabung akhirat’ buat ibu bapa.

Sumber: Instagram datoustazkazim

Foto: Freepik