As’ad Motawh kongsi cerita jatuh bangun kerjaya. ‘lHasil usaha dan kerja keras, kehidupannya  berubah. ‘

USIANYA baru memasuki 21 tahun. Namun, empunya diri sudah memiliki segala-galanya. Rupa paras yang kacak, berharta dan kerjaya yang kian berkembang

Berpeluang menemu bual pemuda yang menggunakan nama pentas As‘ad Motawh ini, membuatkan penulis kagum.

Masakan tidak, jika kebanyakan remaja seusianyamasih tercari-cari identiti dan hala tuju usai tamat pengajian, berbeza pula dengan beliau.
Pada tahun 2015, ketika usianya baru mencecah 16 tahun, As‘ad sudah menjadi perhatian.

Video muzik single pertamanya, Senyum berjaya meraih setengah juta tontoton selepas dilancarkan di platform YouTube. Sebelum itu, popularitinya mencanak naik sebagai influencer.

“Saya bermula dari bawah dan sendirian. Cukup saya katakan, saya sangat bekerja keras. Tidak mudah sebenarnya untuk bertapak dalam dunia seni. Pun begitu, minat mengatasi semua.

“Tidak dinafikan, pada awal pembabitan saya, tiada sokongan yang diterima daripada ahli keluarga, tetapi saya cuba buktikan bahawa pilihan saya tepat. Setelah melihat hasilnya, barulah mereka percaya dan akur,“ ujar pemilik nama sebenar, As‘ad Ahmad Muhammad Motawh yang membuka mukadimah tentang kehadirannya di persada seni yang penuh pancaroba.

Baca lagi ‘Super aktif, mahu pengsan maknya.’ Kongsi sambutan hari lahir anak kembar, luahan hati Dr Halina bikin ramai terhibur

Tidak mahu bergantung kepada satu profesion, As‘ad mencabar diri untuk bergelar usahawan pula. Umur tolak tepi, katanya.

Atas keyakinan yang tidak berbelah bahagi, anak muda itu berjaya menubuhkan produksi sendiri, Motawh Production. Bayangkan, pada umur 19 tahun, As‘ad sudah memiliki membeli rumah dengan hasil titik peluh sendiri!

Melihat graf hidupnya yang sebegitu lancar, penulis mahu mendapatkan reaksi segeranya tentang rezeki berganda yang dikurniakan YANG MAHA ESA.

“Alhamdulillah, kehidupan saya sehingga kini mengikut apa yang saya rancang. Duit yang saya peroleh juga tidak dihabiskan dengan perkara kurang berfaedah. Saya melabur dan simpan.

Dengan cara itu, saya guna untuk membeli aset termasuklah rumah. Saya percaya, waktu muda inilah kita kena ada aset untuk menjamin masa hadapan kelak,“ ujarnya.

Baca ni  Gelagat Jebat Jayden kemas rumah sambil buat dialog tentang semut, lalat bikin warga maya terhibur. Lucu betul!

Sudah resam seorang selebriti, pasti ada kata-kata tajam yang dilemparkan, lebih-lebih lagi melihat kesenangan yang dikecapi. Tutur As‘ad Motawh, beliau langsung tidak ambil peduli dengan omongan negatif manusia

“Jika saya terangkan dari awal sampai akhir sekali pun, kalau orang tetap mengata, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Jujur saya akui, saya datang daripada keluarga yang tiada apa-apa. Ibu bapa saya berpisah dan kami tinggal di rumah yang kecil. Alhamdulillah, berkat usaha gigih dan kerja keras, saya berjaya menukar hidup saya.

“Itu sahaja yang boleh saya kongsikan untuk pengetahuan orang ramai, selebihnya biarlah saya simpan sendiri,“ ungkapnya yang meletakkan limitasi cerita yang mengaitkan keluarga tersayang.

Mohon As‘ad kepada masyarakat di luar sana, janganlah terlalu menggali lebih-lebih tentang famili beliau, begitu juga tentangnya.
Mengaku diri seorang perahsia, jadi hal-hal yang sulit sudah pasti bukan menjadi bahan perkongsian.

“Sejujurnya, saya juga seorang yang misteri, tetapi kalau tak kenal, memang orang tak tahu sebenarnya saya seorang yang kelakar,“ ujarnya.

TIDAK  BIMBANG
Akur dengan permintaan yang enggan memanjangkan soal privasi diri dan keluarga, penulis mengalihkan persoalan tentang persaingan dan kebanjiran anak muda dalam industri seni masa kini.

As‘ad Motawh dilihat tenang. Beliau sedikit pun tidak menyangkal fakta itu. Kemudian, tuan punya badan lantas bersuara: “Jujurnya, dalam apa jua bidang pasti akan ada persaingan. Namun, saya tak rasa diri ini suka bersaing. Kehadiran saya dalam industri ini bukan kerana mahu bersaing atau nak buktikan apa-apa. Semuanya didorong dengan minat dan mahu memeriahkan lagi suasana.

Baca lagi Bergelar ratu cantik atas pengaruh ibu, warisi legasi bapa menjadi peguam. Dua ‘gen’ jadikan Olivia wanita berpengaruh

“Malah, saya juga tidak mahu melihat (persaingan ini) dari sudut negatif. Lebih-lebih lagi dengan para penyanyi seangkatan dengan saya.“
As‘ad yang berdarah kacukan Melayu-Arab juga dengan tegas tidak mahu dibandingkan dengan mana-mana penghibur lain.

“Saya tidak nampak kenapa perlu bimbang dengan kehadiran penyanyi muda yang lain. Fokus utama saya adalah untuk mencapai kejayaan dalam apa juga yang saya lakukan sekarang.

“Tidak perlu cemburu melihat kejayaan orang kerana mereka berusaha keras untuk berada pada tahap itu. Malah, kejayaan mereka menjadi penguat semangat untuk saya terus menjadi yang terbaik dan berkualiti,“ ungkapnya.

Soalan seterusnya agak keberatan untuk ditanya, namun keterbukaan As‘ad melegakan penulis.
Ditanya apakah pandangannya tentang belia kini yang lebih gemar mengejar kekayaan daripada pendidikan dan sesetengahnya juga nekad untuk tidak melanjutkan pengajian gara-gara ghairah mengejar wang ringgit.

Jawab As‘ad telus: “Pada saya, ada baik dan buruknya. Misalnya, jika ada yang bekerja kuat demi memperbaiki masalah kewangan, itu satu tindakan yang bagus.

“Sekurang-kurangnya, mereka berusaha gigih untuk mendapat apa yang diingini. Pun demikian, anda kena faham, bukan mudah sebenarnya untuk mendapat apa yang diingini. Segalanya menuntut pengorbanan yang tinggi.“

Iklan

Eksklusif kepada SinarPlus, As‘ad mengakui beliau mengikuti pembelajaran dari rumah pada zaman remajanya.

Menurut anak muda tampan itu, pada usia 17 tahun, karier sedang memuncak, tambahan skedulnya padat dengan undangan nyanyian. Apabila jadual sekolah bertembung dengan perihal kerjaya, empunya diri terpaksa memilih salah satu.
“Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk belajar dari rumah. Ya, saya memang akui tidak berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana komitmen kerja, selain masa yang terhad ketika itu,“ ujarnya yang memperuntukkan sebahagian wang perolehannya untuk kerja-kerja kebajikan sejak awal bergelar anak seni sehinggalah sekarang.

KEMURUNGAN
Di sebalik ketenangan pada raut wajah dan tidak lokek melontarkan senyuman, As‘ad melondehkan satu fasa hidupnya yang begitu sukar untuk ‘ditelan‘ iaitu berdepan dengan kemurungan.
Garapan lagu Senyum yang dihasilkannya itu rupa-rupanya adalah adaptasi daripada kisah yang cukup perit.

“Ya, saya melalui situasi pedih dan saya percaya ramai juga yang pernah melaluinya. Namun, kepada semua, pastikan emosi itu tidak memusnahkan hidup kita selamanya,“ pesannya.

Menerusi video muzik yang mendapat sentuhan As‘ad, beliau meletakkan simbolik elemen-elemen kekuatan dan nasihat kepada mereka yang pernah ‘terjerut‘ dengan sebarang kemelut.
Selebriti tersebut berharap, mesej yang diketengahkan sampai meski hanya melalui ritma dan lagu.

 

Kalau bercakap tentang netizen, memang membuatkan sesiapa pun pening. Sekali lagi, As‘ad dikecam kononnya menggunakan isu kemurungan untuk meraih perhatian.

Menolak keras tanggapan berkenaan, beliau menegaskan, perkara sebegitu bukanlah percaturan bijak untuk mencipta populariti.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Pada saya, dengan lagu tersebut, saya dapat membantu orang lain yang berada dalam situasi yang sama dengan saya.

“Kita bangkit dan berusaha serta membuktikan kita mampu keluar dari kepompong itu dan berjaya seperti orang lain,“ ujarnya dengan nada sedikit lantang untuk hal-hal yang memberi manfaat.

Iklan

DISIPLIN DAN BANGUN AWAL
Bagi penulis, kata-kata yang meluncur keluar daripada As‘ad perlu diambil iktibar oleh belia di luar sana.

Beritahu anak jati Selangor tersebut, beliau ialah seorang yang mementingkan kesempurnaan terutama soal kerja. Dirinya juga akan membuat perancangan terlebih dahulu dalam setiap apa yang ingin dilakukan.

Seorang yang jenis morning person, As‘ad percaya disiplin merupakan formula paling ampuh untuk seseorang mencipta kejayaan.

“Disiplin yang ketat dan bangun awal pagi merupakan satu kriteria yang sangat bagus diamalkan demi meningkatkan produktiviti kerja. Saya sendiri akan bangun seawal pukul 5.30 pagi dan bersiap untuk ke pejabat,“ jelas As‘ad yang memiliki perancangan mulia untuk membina surau atau masjid suatu hari kelak.

Dalam tempoh seminggu, selebriti yang cukup terkenal dalam kalangan remaja itu akan bekerja selama enam hari dan hanya sehari cuti.
Katanya, durasi masa kerja yang panjang sedikit pun tidak menjejaskan stamina, malah beliau tetap cergas dan cukup bertenaga sepanjang hari.

“Kalau tanya tip (kekal cergas), saya rasa tiada sebarang rahsia yang saya amalkan,” katanya ringkas.

Pun demikian, dalam bab penjagaan rambut, As‘ad nampaknya lebih teliti.

“Seminggu sekali saya akan potong rambut. Ini bagi memastikan gaya dan potongannya sama setiap masa. Jadi, bila tiba-tiba ada sesi penggambaran, saya lebih bersedia,“ kata As’ad yang turut mempraktikan rutin mencuci wajah dengan produk khusus dan memastikan minum lebih banyak air kosong.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi