Cetus kontroversi bukan formula Mierul Aiman untuk cipta nama sebagai pelakon, pengacara

KATA budak-budak zaman sekarang, tinggi, gelap dan kacak merupakan pakej sempurna buat seorang lelaki. Namun, apa yang penulis boleh katakan, setiap individu mempunyai sudut pandang berbeza dan cita rasa masing-masing.

Untuk berkecimpung dalam bidang seni pula, tidak hanya penampilan luaran menjadi ukuran, tetapi personaliti yang elok diperlukan.

Masakan tidak, sudah resam dalam dunia hiburan dan seperti satu yang wajib untuk dipatuhi, seseorang selebriti wajib untuk tampil ‘sempurna bak malaikat’ tanpa cela mahupun khilaf, meskipun hanya berstatus manusia.

Ya, seperti tidak adil, namun begitulah realiti anak seni yang hidup dalam dunia glamor.
Wajah terpampang di sana sini. Jika tidak kena pada mata netizen, setiap inci gambar yang dimuat naik pasti akan menjadi ‘bahan’.

Pendek kata, posisi sebagai selebriti membuatkan mereka menjadi sasaran mudah masyarakat yang seolah-olah berhak berkata apa sahaja walaupun pada dasarnya, ia perit untuk ditelan.

Apabila hal itu dibangkitkan, pemegang gelaran Juara Hero Remaja 2021, Mierul Aiman dengan tegas berkata, populariti yang diraih oleh mana-mana personaliti merupakan tanggungjawab dan amanah untuk menyebarkan hal-hal positif kepada semua orang.

Ujarnya, apabila menjadi pusat perhatian, khalayak sentiasa memiliki rasa ingin tahu tentang apa yang akan dilakukan oleh figura yang digemari mereka atau sebaliknya pada setiap hari.

“Artis menjadi terkenal kerana berjaya memberikan kualiti kerjaya terbaik kepada penonton, di samping artis itu perlu berusaha gigih untuk memperbaiki kelemahan diri. Peminat sentiasa ingin melihat kualiti kerja yang ditonjolkan selebriti yang diminati bagi mengetahui sama ada berbaloi atau tidak sokongan mereka selama ini,” ujarnya.

Iklan
Iklan

Hindar kontroversi

Memiliki daya pandangan yang positif, penulis berpendapat Mierul atau nama lengkapnya Muhammad Amirul Aiman Norazman mungkin memahat ‘ideologi’ sebegitu kerana masih setahun jagung dalam industri.

Namun, melihat kepada renungan mata dan getar suaranya yang begitu bersemangat serta tegas, membuatkan penulis yakin penglibatan beliau sebagai anak seni bukan sekadar suka-suka.

Beritahu Mierul, sejak kecil dirinya sudah menanam impian untuk bergelar seorang artis. Bukan sekadar selebriti biasa, beliau memilih menjadi pengkarya yang serba boleh lantaran ‘pekerjaan’ itu memiliki tarikan dan kuasa tersendiri.

“Setiap orang mempunyai perancangan. Perspektif yang berbeza membuatkan mereka melihat kehidupan dari sudut yang berlainan. Ada yang memilih strategi kontroversi kerana percaya ia mampu menaikkan nama dengan pantas, namun sebahagiannya tidak memilih jalan itu.

“Sama juga dengan saya. Cara saya adalah memberikan hasil kerja yang bagus kerana ia secara tidak langsung akan membangkitkan kepercayaan dan keyakinan kepada pihak tertentu. Pendekatan ini juga merupakan satu refleksi yang positif.

“Saya juga percaya, dengan hasil kerja yang bagus, insya-ALLAH, kita mampu bertahan lebih lama dalam industri ini. Apabila peminat menghargai usaha kita, ia adalah satu kejayaan besar bagi saya,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Biarpun dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk khalayak menyedari kewujudan beliau di pentas sseni, Mierul nampaknya tidak mengambil pusing mengenai pandangan tersebut.

Kata anak muda itu, apa yang pasti beliau mahu membebaskan diri daripada dibasahi kontroversi semata-mata ingin cepat naik. Cara tersebut jelas menyimpang dengan tujuan asalnya yang ingin mempamerkan kualiti diri dan bukannya mencari populariti.

“Saya nak jadi artis bukan untuk setahun dua, tetapi sampai ke hari tua. Kontroversi bukan formula saya. Apa yang pasti, saya perlu memberikan kualiti kerja terbaik. Sama juga analogi untuk membina sebuah bangunan. Asas dan bahan yang digunakan perlu berkualiti agar binaan kukuh.

“Sekiranya dibuat dengan sambil lewa dan tidak amanah, struktur (binaan) mungkin akan runtuh dan membahayakan nyawa orang sekeliling,” ujarnya yang sering mengungkapkan kata-kata penuh metafora.

Pun demikian, kelantangan Mierul menuturkan bicara bukanlah bermakna empunya diri langsung tidak boleh diajak bercanda. Sesekali, terdengar juga ketawa kecil jejaka berusia 24 tahun itu yang diselang seli dengan penjelasan objektifnya berada dalam arena hiburan tanah air.

Beri peluang

Berketinggian 178 sentimeter telah memberi kelebihan untuk selebriti berdarah muda itu bergelar model peragaan, selain memilih untuk serius dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Berpeluang membintangi telefilem bertajuk Hierarki tayangan Astro Ria baru-baru ini merupakan satu agenda paling dinantikan oleh Mierul, apatah lagi sudah menjadi kecintaannya untuk berlakon sejak di bangku sekolah.

“Kemenangan sebagai Juara Hero Remaja 2021 merupakan platform untuk saya menceburi bidang seni. Saya sedar mungkin ada pandangan yang menilainya sebagai hal remeh, tetapi pada saya itu satu pencapaian paling baik dalam diri.

“Sebelum masuk pertandingan itu sebenarnya, saya sudah menghadiri kelas lakonan teater. Syukur pengalaman dan kemahiran yang dipelajari secara tidak langsung menguatkan lagi keyakinan saya. Tidak dinafikan, perancangan ALLAH itu ada makna di sebaliknya.

“Saya tidak pernah terlintas bahawa masuk ke kelas lakonan semata-mata untuk menang. Sejujurnya, saya memang meminati bidang ini dan itu yang membuatkan saya menyertai kelas demi mengasah bakat serta mempelajari ilmu baharu,” jelasnya panjang lebar.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu juga bersyukur kerana kelas tersebut banyak membantunya untuk membina kepercayaan dan hubungan serta memahami lagi selok-belok industri seni yang penuh pancaroba.

Selain itu, ia juga telah mengajar Mierul cara berinteraksi di hadapan kamera sebagai pelakon, mahupun pengacara.

Pastinya sebagai pendatang baharu, bukan mudah buat beliau ‘menjual’ diri tanpa mengetahui landskap lapangan hiburan.

“Setiap kritikan yang diterima telah membentuk jati diri dan menjadikan saya individu lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya yang bijak menyusun kata.

‘Kekasih’ lain

Berkobar-kobar meluahkan perancangan masa depannya, Mierul juga mempunyai ‘kekasih’ lain, selain kecintaan dalam arena lakonan dan pengacaraan. Mungkin ada menelah bahawa imej maskulin beliau tidak memperlihatkan dirinya seorang yang gemarkan penulisan sastera.

Mierul sebenarnya telah menjinakkan diri dengan penulisan sejak tahun 2014 lagi. Meluahkan rasa terbuku dalam hati, membiarkan diri larut dengan lautan aksara, antara cara beliau membebaskan diri daripada penjara perasaan.

“Sama seperti penulisan diari, apa yang berlaku akan ditulis dan diluahkan. Begitu juga dengan saya yang suka menulis terutama saat fikiran bercelaru.

“Bagi saya, penulisan itu lebih bersifat ‘halus’ sehingga membuatkan mereka membacanya tertanya makna tersirat. Biarpun suka menulis, tetapi saya bukan seorang yang gemar menulis jurnal puisi. Sesekali idea datang, saya akan catat dalam telefon sehinggalah puisi tersebut lengkap.

“Bukan sekadar perkongsian biasa, saya mengharapkan ia akan menjadi ‘kotak simpanan’ kenangan jika saya tiada lagi di dunia, di samping mendidik diri saya menguasai bahasa Melayu,” tuturnya lembut.

Mierul turut mengharapkan setiap apa yang dicatat akan menjadi inspirasi dan kekuatan bukan hanya kepadanya, malah individu yang berada di sekeliling.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Share
Azma ML

Published by
Azma ML

Recent Posts

‘Temukan orang terbaik menjadi imamnya.’ Bakal berangkat tunai haji, Wan Maimunah doakan jodoh buat Wan Sharmila

IKATAN antara anak dan ibu saudara ini menjadi perhatian ramai. Dramatis Wan Sharmila dalam perkongsiannya,…

6 hours ago

Aaron Aziz tak ambil ‘port’ isu Alif Aziz. ‘Jangan runtuhkan ‘jambatan’ hubungan antara Malaysia-Singapura’

“SENDIRI buat hal, pandai-pandai kau hadap kritikan.” Demikian ungkapan pelakon popular, Aaron Aziz terhadap rakan…

6 hours ago

Diabai & dianiaya Siti Bainun, Bella masih trauma, hukuman penjara 12 tahun kekal. Ini kronologi kes meruntun hati

KES membabitkan remaja sindrom Down bernama Bella pernah menjadi perhatian ramai. Tidak kurang yang menitiskan…

7 hours ago

Anak sulung Adira Suhaimi beraksi di pentas fesyen antarabangsa raih pujian. ‘Lenggok macam supermodel, memang berbakat!’

BARU-baru ini, penyanyi Adira Suhaimi berkongsi perjalanan beliau bersama anak perempuannya, Anggrek Adenan ke negara…

9 hours ago

Bella Astillah ke peringkat antarabangsa, lagu Sumandak Sabah bergema di China. Warganet bangga, doa terus sukses

PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah kini semakin 'mendunia' apabila terpilih mewakili Malaysia untuk beraksi di…

12 hours ago

Raikan guru tersayang dengan hadiah kejutan, ini 5 item paling praktikal sebagai special gift 16 Mei

SETIAP tahun, sambutan hari guru pada 16 Mei antara tarikh yang dinanti-nantikan, tak kiralah sama…

13 hours ago