COVID-19 merupakan virus yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan dan kesan paling bahaya virus tersebut adalah apabila ia menyerang paru-paru.

Jika virus tersebut dijangkiti paru-paru, pesakit akan memerlukan oksigen tambahan. Sekiranya kandungan oksigen masih tidak mencukupi, pesakit memerlukan mesin bantuan pernafasan (ventilator) bermula dengan ‘non invasive’ ketika pesakit masih sedar.

Malangnya, jika keadaan bertambah teruk, pesakit perlu dimasukkan tiub terus ke salur utama pernafasan (intubated).

Untuk mengelakkan refleks melawan salur tersebut di samping mengatur pernafasan dengan mesin, pesakit akan diberi ubat bius yang akan membuatkan pesakit separuh sedar bagi mengurangkan impak kesakitan.

Jika pesakit tersebut merupakan seorang doktor, pastinya prosedur dan impak yang bakal dihadapi sudah sedia maklum.

Itulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh salah seorang doktor pakar di Kota Makassar, Indonesia yang dikenali sebagai Doktor Adnan Ibrahim juga merupakan pesakit positif Covid-19.

Baru-baru ini foto beliau sedang solat di atas katil hospital tular di laman sosial dan pastinya mengundang reaksi yang mampu meruntun jiwa siapa sahaja yang melihatnya.

Menurut sumber, doktor Adnan sedia maklum impak selepas prosedur itu dijalankan, maka beliau meminta izin untuk solat subuh sebelum prosedur tersebut dilakukan terhadapnya.

Ternyata itu solat terakhir beliau setelah usaha untuk menyelamatkannya mengikut prosedur yang telah ditetapkan gagal.

Iklan

Beliau tidak lagi sedar setelah tiub dimasukkan ke saluran utama pernafasan dan disahkan meninggal dunia.

Arwah disahkan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Jumaat lalu setelah tewas berjuang melawan Covid-19.

Menurut sumber, Dr Adnan merupakan doktor yang kelima di kota tersebut dan yang ke-77 di Indonesia dilaporkan meninggal akibat Covid-19.

Iklan

Ketika hayatnya masih ada, arwah telah berjuang untuk merawat dan mengawal pandemik yang melanda negaranya.

Jenazah Dr Adnan telah selamat dikebumikan di pemakaman khusus milik Pemerintah Provinsi Sulawesi Selatan yang terletak di Macanda, Kecamatan Somba Opu, Kabupaten Gowa, Indonesia.

Sumber : Riauonline