Hati-hati mandi air terjun, video tular kepala air ragut nyawa dua kanak-kanak, seorang hilang

September 28, 2021
Oleh Azma ML

SEKELIP mata dihanyutkan kepala air! Video yang memaparkan kejadian di sebuah air terjun di Filipina baru-baru ini tular di media sosial.

Kejadian tragis kepala air di air terjun berkenaan menggemparkan negara itu. Menurut sumber, angka kematian di Air Terjun Tinubdan, Cebu meningkat kepada dua orang manakala seorang lagi masih belum ditemui.

Difahamkan ketika kejadian, 30 orang didapati berada di dalam sungai di kawasan air terjun itu sementara kira-kira 100 orang lagi berada di sekitarnya.

Kejadian yang berlaku pada jam 1 tengah hari, Ahad lalu tidak disangka-sangka.

Menurut saksi, Carlos Dolendo pada waktu itu, hujan tidak turun tetapi dia mengatakan bahawa pengawal sebelumnya telah memperingatkan pengunjung tentang kemungkinan banjir ketika mulai hujan.

Dolendo berkata kepada Cebu Daily News, tiada hujan lebat sebaliknya hanya hujan gerimis ketika itu.

Justeru, mereka terus berenang meneruskan aktiviti dan bermain dan hanya berlari menuju tebing selepas mendengar seseorang menjerit kehadiran kepala air.

"Hanya gerimis turun namun nampak seperti percikan air dari air terjun. Ketika ia berlaku, kami mendengar seseorang menjerit ‘banjir.’

“Air di kawasan itu menjadi coklat dan dua minit kemudian, hujan mulai turun di kawasan kami. Kami tidak menjangka kepala air akan berlaku kerana hanya hujan gerimis turun sebelum itu, ”kata Dolendo.

Iklan

Mangsa, Kent Jude Monterola, 17, dan sepupunya Princess Alastra, 7 ditemui maut.

Monterola ditemui pada Ahad malam Barangay Corazon sementara mayat Alastra ditemui pada hari Isnin di Barangay Duyan, kawasan bersebelahan air terjun berkenaan.

Sehingga Isnin, mayat Jacel Alastra, 32, ibu kepada Princess Alastra masih belum ditemui.

Rakaman video kejadian dipercayai dirakam menggunakan dron telah dimuat naik di Reddit Filipina.

Individu berkenaan meminta warga tempatan untuk berhati-hati di sekitar air terjun dan sungai terutamanya pada musim hujan yang biasanya dari bulan Jun hingga November.

"Ia berlaku semalam di Catmon, Cebu. Banjir kilat di air terjun dan sungai boleh berlaku dalam waktu yang singkat. Mari kita semua berhati-hati, ”kata pengguna Reddit berkenaan.

Iklan

Baca juga Mayat Tersangkut Pokok Pisang, Dahsyatnya Banjir Kilat Ibarat Tsunami, Ragut Nyawa Penduduk Kaki Gunung Jerai

Pejabat Provinsi Kepolisian Cebu meminta Pemerintah Perbandaran Catmon untuk sementara waktu menyatakan Air Terjun Tinubdan terlarang bagi pelancong.

Kolonel Polis Engelbert Soriano mengatakan bahawa mereka akan memasang papan tanda yang melarang aktiviti air di kawasan itu terutama ketika musim hujan.

Ramalan kaji cuaca mengatakan bahawa musim La Niña kemungkinan akan bermula pada bulan Oktober dan akan berlterusan sehingga suku pertama tahun depan.

Aktiviti rekreasi seperti perkelahan air terjun juga menjadi perhatian ramai di negara kita akhir-akhir ini. Justeru, beberapa faktor penting perlu diambil kira termasuk tanda-tanda awal kejadian kepala air.

1.Langit gelap di hulu sungai atau kawasan puncak bukit. Ia akan disertai bunyi petir dan guruh yang kuat.
2.Kedengaran bunyi dentuman gerakan batu-batuan dan air dari hulu sungai.
3.Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba.
4.Daun kering dan ranting kayu muncul dengan banyak pada permukaan air.
5.Bunyi siren amaran.
6.Perubahan arus sungai dan keadaan cuaca. Perhatikan tanda-tanda langit gelap di kawasan hulu.
7.Sentiasa peka dengan perubahan cuaca. Walaupun tiada hujan di kawasan mandi manda, hujan di hulu sungai boleh mengakibatkan kepala air.
8.Apabila terjadi tanda-tanda kepala air, kita hanya mempunyai masa sekitar 10 hingga 15 minit sahaja untuk menyelamatkan diri.

Kepala air amat berbahaya kerana arusnya yang kuat membawa bersama kelodak, bati dan kayu. Aliran deras ini akan meerempuh apa sahaja yang ada di hadapan.

Diharapkan info ini mengurangkan risiko kemalangan dan kematian akibat kejadian kepala air.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: interaksyon.philstar.com,