KEHILANGAN pasangan hidup pastinya menimbulkan kerisauan. Apatah lagi jika berlaku dalam tempoh yang lama, kebimbangan semakin menjadi-jadi.

Itulah dihadapi seorang lelaki berasal dari Kampar, Indonesia. Meskipun sudah berbulan-bulan mencari isterinya, namun beliau tidak berputus asa.

Bahkan, sanggup menambah jumlah ganjaran kepada 150 juta rupiah (RM43,328) kepada individu yang berjaya menemui isterinya.

Sudah empat bulan Ervina Lubis, 40 hilang tanpa khabar berita. Memetik laporan Tribunnews lelaki dikenali Khairuddin pernah menawarkan ganjaran 75 juta rupiah (RM21,707) pada April lalu.

Oleh kerana tiada individu yang tampil menyalurkan maklumat jumlah tersebut ditambah pada 150 juta rupiah.

Pelbagai ikhtiar dilakukan penduduk Kampung Tanjung Sawit di daerah Tapung dan Kampar untuk menjejakinya hingga Khairuddin nekad untuk menaikkan jumlah ganjaran.

“Ya, saya beri ganjaran 150 juta rupiah dengan harapan isteri ditemui segera,” katanya.

 

Kehilangan Ervina dilaporkan sejak 18 Mac lalu. Ia berlaku ketika Khairuddin bersama isteri dan anak ke sebuah pusat beli-belah di bandar Pekanbaru.

Khairuddin bagaimanapun dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang rakan lalu beredar seketika ke Jalan Harapan Raya tidak jauh dari gedung berkenaan.

Iklan

Sekembalinya ke pusat beli-belah, Khairuddin mendapati isterinya sudah tiada.

Anak memberitahu ibunya ke tandas, tetapi tidak kembali semula.

 

Iklan

 

Khairuddin telah cuba mencari isterinya, namun gagal dan akhirnya beliau dan anak pulang ke rumah.

Lelaki itu dikatakan sudah membuat laporan di Balai Polis Tampan, bandar Pekanbaru pada 19 April lalu dan disahkan oleh Ketua Balai Polis Tampan, Hotmartua Ambarita.