TABIAT membeli-belah secara online sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat. Ia semakin berkembang dengan pantas selari dengan kemudahan edagang yang disediakan.

Tahun lalu merupakan tahun kemajuan besar bagi e-dagang apabila rakyat Malaysia didorong mengutamakan perbelanjaan dalam talian (online) untuk pelbagai pembelian termasuklah barangan berjenama dan premium.

Perkembangan itu juga mungkin disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan beberapa barang tidak boleh dibeli di luar dan orang ramai menggunakan perkhidmatan kurier untuk membeli barang secara online.

Akibatnya, beberapa syarikat kurier yang mengendalikan perkhidmatan penghantaran barang beberapa kawasan tidak dapat mengelak daripada lambat menghantar barangan disebabkan kekurangan tenaga kerja.

Salah satu perkhidmatan yang terkesan dengan situasi itu adalah J&T yang mana baru-baru ini seorang pengguna Twitter telah memuat naik gambar pusat operasi J&T kawasan Selangor yang memperlihatkan gudang mereka sarat dengan kotak bungkusan.

“Aduan marhaen” Terlalu ramai ‘shopping online’ masa PKP, syarikat kurier hadapi masalah

Posting itu juga mendapat perhatian ramai termasuk pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya yang telah mengulang kicau posting tersebut dengan caption “aduan marhaen” dan disusuli dengan hashtag #jnt.

Iklan

“Saya nasihatkan hentikan dulu membuat penghantaran J&T di kawasan sekitar Selangor terutama kawasan Sri Kembangan.

“Barang banyak sampai, berlori-lori setiap masa. Dimaklumkan staf ramai berhenti kerana isu dalaman pihak pengurusan Selangor.

“Selain barang hilang,barang rosak dan lain-lain, kami semalam beratur panjang ada yang hampir tiga jam menunggu untuk mengambil barang (self pickup).

“Tiada staf yang berada di kaunter untuk melayan pelanggan yang sangat ramai, cara terakhir kami terpaksa masuk ke dalam pejabat dan jerit panggil orang untuk keluar buat kerja dalam gudang,” tulisnya dengan penuh kesal.

Bagaimanapun, seorang staf J&T menerangkan bahawa terdapat lebih banyak barangan yang perlu dihantar semasa PKP dan mereka kekurangan tenaga kerja untuk menghantar barangan tepat pada masanya.

Mereka juga mengadu bahawa sistem yang diguna pakai juga sering kali tergendala menyebabkan mereka sukar untuk menjejaki bungkusan pelanggan.

Iklan

Pengadu tersebut juga mendakwa barangannya sudah enam hari hilang tanpa jejak dan staf di situ juga meminta semua pembeli barang dalam talian bersabar kerana kekurangan kakitangan dan mereka juga kini terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.