Amalan mandi bunga bukan cara buang sial, hati-hati jangan sampai jatuh syirik

May 8, 2021
Oleh Nurul Fadila Awaludin

WANGIAN yang harum ditambah pula dengan kehadiran pelbagai jenis warna membuatkan jambangan bunga dianggap istimewa dan sering dijadikan hadiah pada acara tertentu.

Biarpun begitu, masih ada masyarakat yang percaya bahawa setiap jenis bunga itu mempunyai kuasa tersendiri sehinggakan mampu membantu manusia mengelakkan diri daripada ditimpa nasib malang.

Salah satu caranya ialah dengan mengamalkan perbuatan mandi bunga yang sememangnya sinonim dengan kepercayaan mistik sejak dari zaman turun-temurun lagi.

Menggunakan tujuh jenis bunga berbeza, dikatakan setiap satu daripadanya itu memiliki kuasa tersendiri yang dapat memberi tindak balas secara spiritual kepada manusia.

Tidak hanya terhad di negara kita, amalan tersebut dipercayai turut diangkat sebagai salah satu upacara ritual yang terkait dengan kepercayaan mistik di negara Asia Tenggara.

Selain masyarakat Melayu, individu berbangsa Cina dan India juga saling mempunyai kefahaman dan kepercayaan tentang amalan mandi bunga.

Iklan

Perbuatan mandi bunga tidak menjadi satu kesalahan kerana Datuk Fadzilah Kamsah berkata; "Mandi bunga dapat menaikkan seri wajah kerana badan manusia kembali segar disebabkan oleh khasiat yang terdapat di dalam bunga yang digunakan terserap ke dalam tubuh badan".

Amalan mandi bunga sebaiknya dilakukan tanpa niat termasuk tidak disertai dengan  sebarang bacaan mantera yang dikhuatiri dapat memesongkan akidah sehingga menyebabkan seseorang itu berbuat syirik.

Berikut antara kepercayaan karut yang sering dikaitkan dengan amalan mandi bunga dalam kalangan masyarakat:

1. Pelaris

Iklan
  • Mempercayai bahawa seseorang itu akan  memiliki tarikan atau aura 'misteri' tersendiri sebaik selesai melakukan upacara mandi bunga.
  • Aura tersebut dikatakan dapat menjadi pelaris atau menundukkan individu lain sehingga membuatkan dia disukai ramai.

2. Membuang sial

  • Dibacakan dengan mantera tertentu, nasib malang seseorang itu dikatakan dapat dibuang dan hanya perkara baik sahaja akan berlaku dalam hidupnya.
  • Perkara tersebut kerap dilakukan oleh seseorang yang merancang untuk memulakan perniagaan sendiri dengan alasan agar tidak mengalami kerugian.

3. Jodoh

  • Hidup berpasangan dan saling berkasihan antara lelaki dan wanita itu adalah fitrah manusia yang dalilnya jelas dikatakan dalam al-Quran.
  • Bagaimanapun, bagi mereka yang masih tidak kunjung hadirnya pasangan dalam hidup dikatakan dapat mempercepatkan jodohnya dengan cara mandi bunga.
  • Seharusnya sebagai umat Islam, kita perlu berdoa dan berusaha agar dapat dipertemukan dengan pasangan yang baik.
  • Biarpun sudah beratus tahun berlalu, masyarakat Melayu masih percaya amalan mandi bunga dapat mempercepatkan jodoh sedangkan bukti fizikal mengenai perkara itu masih tiada.

Meskipun pelbagai alasan yang digunakan, amalan mandi bunga ini sudah dianggap tradisi dan sebahagiannya 'perlu' dilakukan seperti sebelum berkahwin.

Perbuatan ini bahkan mendapat tempat di pusat kecantikan dan spa selain dijadikan sebagai rawatan alternatif tradisional tidak mengira sama ada masyarakat bandar atau desa.

Paling utama niat untuk melakukan perkara tersebut tidak memesongkan akidah. Sebaliknya berdoa dan mengharapkan dapat memperoleh manfaat daripada bunga yang digunakan.