PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 menamatkan teka-teki selepas lima hari Parlimen berada situasi tergantung. Ini berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendapat majoriti 50 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan.

Dalam satu hantaran di Facebook, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menulis beberapa nasihat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Baca juga: Wajib lantik pemimpin dan kerajaan, Datuk Dr Zulkifli kongsi dalil dan fakta

Baca juga: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 suami dan bapa yang penyayang, 10 info menarik mengenainya

Menurutnya Dr Zulkifli, beliau telah menulis tentang Fiqh Politik sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sejak 17 November lalu hingga ke hari ini. Beliau memutuskan hari ini sebagai hari terakhir beliau menulis bagi siri khas tersebut.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kemelut pasca PRU15 telah selesai. Apa jua yang terjadi adalah kehendak Allah SWT. Saya doakan semoga dipermudahkan segala urusan dan pentadbiran negara dengan jayanya.

“Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta Majlis Raja-Raja atas hikmah dan kebijaksanaan memutuskan isu yang agak rumit ini,” katanya.

Tambah Dr Zulkifli lagi, ia bukanlah penamat segala-galanya buat yang tidak berjaya. Takdir yang lebih baik adalah untuk mereka yang terus bersabar, ikhlas, dan istiqamah. Malaysia tidak akan berjaya tanpa pembangkang yang melakukan semak dan imbang dengan teliti.

Baca juga: Sah atau tidak solat berimamkan seorang perokok, ini kata Dr Zulkifli Al-Bakri

“Kepada rakyat Malaysia, semua bangsa dan agama, inilah yang telah kita lalui pada PRU-15 yang lalu. Tarik nafas dan terima apa jua keputusan dengan lapang dada. Menang tidak megah, kalah tidak rebah. Hentikan budaya memaki hamun antara satu sama lain. Usah jadikan masa ini untuk ‘membalas dendam.’

“Penyokong pihak kerajaan sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Maka tinggalkanlah sifat pembangkang. Buat penyokong pihak pembangkang, jadikan PRU-15 ini sebagai pemangkin untuk berusaha dengan lebih gigih. Anda juga menyumbang untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang. Bangkanglah dengan bijaksana, penuh insaf dan amanah demi negara,” tulisnya.

Menurut Dr Zulkifli lagi, sebagaimana Perdana Menteri sebelumnya, bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau juga telah menyampaikan nasihat yang sesuai kepada mereka dari semasa ke semasa untuk pedoman.

“Moga-moga ALLAH SWT menjadi saksi akan tertunainya tanggungjawab saya di hadapan para pemimpin. Tidaklah saya menasihati melainkan atas dasar rasa kasih kepada negara, agama dan bangsa.

“Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya ucapkan tahniah dan semoga mampu menggalas tugas dan amanah yang berat ini. Bertakwalah kamu kepada ALLAH. Pada pundakmu terhimpun segala beban amanah untuk membawa halatuju Malaysia pada masa hadapan.

Malaysia adalah negara umat Islam yang dihormati dunia. Maka hargai pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia. Andalah penerus dan penentunya. Peliharalah Islam di tanah air ini dengan sepenuh jiwa raga,” jelasnya.

Baca juga: Ayam jantan berkokok waktu malam tanda ia melihat malaikat itu benar- Dr Zulkifli

Iklan

Dr Zulkifli juga menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim agar berhati-hati dengan penasihat yang jahat (bitanah al-su’) sebagaimana pesan Rasulullah SAW kepada para pemimpin. Mereka mampu menaikkan anda, mereka juga mampu menjatuhkan anda. Ingatlah juga sabda Rasulullah SAW:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan. Jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)

Jadilah seumpama Saidina Umar ibn al-Khattab yang pernah berkata:
أَيُّهَا النَّاس مَنْ رَأَى مِنْكُمْ فِيَّ اعْوِجَاجًا فليقومه.
“Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah ia.”

“Mungkin Datuk Seri masih ingat nasihat-nasihat saya semasa pertemuan kita di Istanbul, Turki satu masa dahulu. Saya menghadiri persidangan al-Aqsa, Datuk Seri pula menjalani rawatan di sana. Pada masa itu, Datuk Seri minta saya berikan nasihat dan saya sampaikan apa yang termampu dan ikhlas daripada lubuk hati saya. Saya juga berharap agar Malaysia menuju ke arah negara harmoni, aman damai, maju serta diberkati ALLAH SWT,” katanya.

Iklan

Memulakan tugas selepas 17 jam mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di bangunan Perdana Putra pada jam 9.52 pagi Jumaat bagi menjalankan tugas rasminya. Memakai baju Melayu warna merah jambu, beliau mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya dengan diiringi pengawal pengiring.

Baca juga: Solat, zikir, baca al-Quran walau tenat kanser tahap 4, pemergian anak Dr Zulkifli sentuh hati ramai

Sumber:Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Sinar Harian

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi