COVID-19 yang kini melanda dunia ternyata telah mencetuskan pelbagai ketidakpastian kepada individu dan perniagaan. Malaysia turut sama tergolong dalam senarai negara-negara yang terjejas.

Disebabkan wabak ini masih menjejaskan mata pencarian rakyat Malaysia, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd (Canon) telah mengambil langkah tambahan untuk menyumbangkan barangan keperluan bernilai lebih RM15,000 kepada beberapa hospital, pasukan polis dan agensi kerajaan dalam usaha membantu petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi Covid-19.

Mana tidaknya, sepanjang ‘musim’ Covid-19 keselamatan mereka juga perlu dijaga dan diberi keutamaan.

Barangan keperluan seperti topeng muka dan pensanitasi tangan telah dibekalkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk memastikan keselamatan anggota polis yang bertugas di barisan hadapan semasa berlakunya wabak global ini.

Sementara itu, beberapa unit pencetak, toner dan katrij pula telah didermakan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSBAS), Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani (HSAH), Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) dan Majlis Keselamatan Negara untuk memenuhi keperluan pencetakan dan melancarkan aliran kerja bagi meningkatkan produktiviti di jabatan-jabatan tersebut.

Canon tampil bantu frontliners jaga keselamatan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Andrew Koh dalam satu kenyataan berkata, dalam situasi semasa yang penuh ketidakpastian, Canon bersimpati dengan individu dan komuniti yang terjejas akibat wabak ini.

“Salam hormat kami sampaikan kepada petugas barisan hadapan dan wira tak didendang sambil kami menghulurkan sumbangan dan mendoakan keselamatan dan perlindungan untuk anda semua daripada Covid-19.

“Kami percaya kita akan dapat memerangi wabak ini bersama-sama dan akan menjadi lebih kuat dan berdaya tahan selepas berakhirnya wabak ini.

Iklan

“Keputusan untuk membantu petugas barisan hadapan semasa wabak Covid-19 ini dipandu oleh falsafah korporat kami iaitu ‘kyosei’ yang berpegang kepada konsep hidup dan bekerjasama untuk mencapai manfaat yang dapat dikongsi bersama,” katanya.

Sementara itu, Canon juga akan terus menawarkan sokongan perkhidmatan kepada semua industri dan perniagaan perkhidmatan keperluan untuk membantu operasi harian mereka kerana kami percaya ia merupakan tanggungjawab kami dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka pada masa akan datang.

Iklan

Sepanjang PKP yang diumumkan Kerajaan, Canon telah menawarkan seminar fotografi web secara percuma melalui kumpulan Facebook “Kaki Canon” untuk meningkatkan kemahiran golongan muda dan para peminat fotografi.

Seminar web tersebut direka bukan sekadar untuk menanam dan memupuk minat terhadap fotografi di kalangan orang ramai, tetapi juga untuk memastikan minda mereka sentiasa aktif semasa tempoh pengasingan ini.

Canon percaya bahawa mempelajari sesuatu yang berguna dalam keadaan seperti ini akan membantu orang ramai menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara yang positif dalam kehidupan mereka.