SEPERTI ramai sedia maklum, beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan Aidilfitri dan orang ramai kini dilihat sibuk membuat persiapan meskipun sambutan tahun ini, seluruh negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun, persiapan seperti baju baharu dan kuih raya tetap disediakan walaupun secara bersederhana.

Cuma kini terdapat sedikit kelainan yang mana Syawal tahun ini apabila kelengkapan penjagaan kebersihan seperti cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan alat pengesan suhu badan menjadi keutamaan dalam senarai pembelian.

Dalam menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini, penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka menjadi satu kepentingan dalam melakukan rutin harian.

Selain itu, aktiviti di luar rumah juga perlu dihadkan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan perkara yang tidak diingini berlaku.

SinarPlus juga percaya rata-rata orang ramai kini melakukan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dilakukan secara ala kadar sahaja kerana mengakui bimbang akan situasi Covid-19 yang masih belum lenyap.

Penulis sendiri sepakat bersama keluarga ingin menyambut Aidilfitiri kali ini secara sederhana dan memutuskan untuk tidak menerima tetamu luar datang ke rumah selain daripada ahli keluarga terdekat sahaja.

Penulis juga akan melakukan beberapa persiapan bukan sahaja sentiasa memastikan peralatan seperti sarung tangan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman mencukupi untuk kegunaan harian, malah turut membeli alat pengesan suhu sebagai persediaan sekiranya menerima tetamu pada hari raya nanti. Tapi yang pasti kami belum bersedia menerima tetamu!

Iklan

Alat pengesan suhu itu tak salah kalau nak beli. Musim-musim Covid-19 ni memang berguna sangat pun. Kalau tak periksa suhu tetamu, boleh juga periksa sesama ahli keluarga dan yang penting rekod setiap kali suhu bacaan diambil. Bukan suka-suka nak check je! Haha!

Kalau dulu, hendak keluar ke mana-mana pun tidak perlu pakai tiga barang ini (cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan sarung tangan), sekarang kalau hendak ke mana-mana tiga benda ini wajib sebab tidak mahu bawa balik virus ini dan menjangkiti diri serta keluarga. Jadi, sama-samalah kita jaga kita.

Ingat, jangan disebabkan keghairahan anda untuk menyambut hari raya, keselamatan keluarga terutama orang yang anda sayang diambil mudah sehingga mampu menjadi penyebab keluarga anda dijangkiti wabak pembunuh ini.

Iklan

Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!

GENG LUAR KOTAK