Covid-19: Aplikasi ‘Gerak Malaysia’ permohonan lintas negeri atas talian

Covid-19: Aplikasi ‘Gerak Malaysia’ permohonan lintas negeri atas talian
April 27, 2020
Oleh Meen

SEPERTI ramai sedia maklum, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar kerajaan, ramai rakyat Malaysia yang terperangkap dan terkandas di kampung.

Kerajaan langsung tidak membenarkan sebarang perjalanan lintas negeri jika tiada urusan penting untuk dibuat.

Namun begitu, orang ramai yang mempunyai urusan penting sepanjang tempoh PKP disaran untuk memuat turun aplikasi mudah alih 'Gerak Malaysia' dalam telefon bimbit mereka.

Aplikasi ini dibangunkan bagi tujuan memudahkan urusan permohonan untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri yang dibuat secara dalam talian.

Memetik laporan portal tempatan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, aplikasi ini juga dapat mengelakkan orang ramai daripada terpaksa keluar rumah untuk membuat permohonan di balai polis, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19.

"Melalui aplikasi ini, kod QR unik yang dijana akan diimbas dan diperiksa oleh anggota bertugas di mana-mana sekatan jalan raya (SJR), sekaligus memudahkan pergerakan pemohon.

"Perlu diingatkan permohonan permit pergerakan ini bagi mereka yang sebelum ini terkandas di kampung halaman, sebaik sahaja PKP diumumkan pada 18 Mac lalu dan ingin pulang ke kediaman sendiri atau tempat bekerja," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

Beliau berkata, permohonan untuk tujuan berkenaan boleh dibuat sehingga 29 April ini.

Iklan

"Aplikasi mudah alih Gerak Malaysia ini boleh dimuat turun melalui 'application store' seperti 'Google Play Store', 'Apple App Store' dan 'Huawei App Galery'.

"Semasa pendaftaran kali pertama selepas muat turun, pengguna perlu memasukkan butiran peribadi seperti nama penuh; nombor kad pengenalan; alamat; nombor telefon peranti yang digunakan serta alamat email," katanya.

Tambah Huzir lagi, pengguna juga perlu memberi kebenaran kepada aplikasi ini untuk mengakses lokasi GPS, bagi mengesahkan lokasi semasa pemohon seterusnya meluluskan permit pergerakan.

Iklan

Permohonan melalui aplikasi ini juga dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenalpasti jumlah mereka yang bakal terbabit dan menyediakan jadual perjalanan bagi memastikan kelancaran operasi.

Mereka yang sudah memohon hendaklah mengemaskini permohonan pada tarikh dibenarkan berlepas supaya kod QR dapat dijana secara automatik.

Bagi memudahkan pergerakan pemohon, PDRM sudah menetapkan jadual perjalanan.

1 Mei 2020 - Perak, Johor, Kelantan

2 Mei 2020 - Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang

3 Mei 2020 - Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu

Perjalanan perlu dilakukan pada hari ditetapkan mengikut permit pergerakan yang diluluskan.

About Meen

Biodata Penulis