Covid-19 : Jururawat hamil meninggal dunia selepas selamat melahirkan kandungan

Covid-19 : Jururawat hamil meninggal dunia selepas selamat melahirkan kandungan
April 16, 2020
Oleh Meen

TRAGIS! Di London, seorang jururawat yang hamil dan positif Covid-19 dilaporkan telah meninggal dunia, bagaimanapun bayi perempuannya berjaya dilahirkan dan berada dalam keadaan stabil.

Namun, status terkini sama ada bayi yang dilahirkan itu positif Covid-19 belum dapat dipastikan.

Jururawat malang itu yang dikenali sebagai Mary Agyeiwaa Agyapong, 28, berkhidmat sebagai seorang jururawat sejak lima tahun lalu di wad umum Universiti Hospiyal Luton Dunstable, di utara London.

Agyapong dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan caesarean kecemasan untuk melahirkan bayinya selepas didapati tahap kesihatannya merosot.

Doktor yang mengendalikan kes berkenaan pada mulanya menjangka Agyapong akan menunjukkan tanda-tanda untuk kembali pulih selepas bersalin, namum malangnya Agyapong meninggal dunia Ahad lalu.

Iklan

Yayasan Amanah Hospital Bedfordshire, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkata, Agyapong didapati positif sejak 5 April lalu dan telah dimasukkan ke hospital tempat dia bekerja pada 7 April.

Menurut laporan AFP, Ketua Eksekutif yayasan itu, David Carter berkata; "Dengan sangat sedih saya mengesahkan kematian seorang daripada jururawat kami iaitu Mary Agyeiwaa Agyapong.

Iklan

"Mary bekerja di sini selama lima tahun dan ahli pasukan kami yang sangat dihargai dan disayangi, beliau seorang jururawat yang hebat dan contoh yang baik melalui apa yang kami perjuangkan.

"Ucapan takziah kami bersama keluarga dan sahabat Mary pada saat yang menyedihkan ini," katanya.

Sinar Plus turut bersimpati dengan berita ini dan diharap berita seumpama ini tidak berulang. Ayuh bangkit rakyat Malaysia!

Sama-sama kita berganding bahu dengan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak kerajaan dan membantu para petugas barisan hadapan agar wabak Covid-19 ini segera dihapuskan. #stayathome #janganputusasamalaysia

About Meen

Biodata Penulis