MESKIPUN setiap hari adanya kes kematian akibat Covid-19, orang ramai diingatkan agar tidak mudah untuk berkongsi atau mempercayai apa-apa tip tidak sahih berkait dengan penawarnya.

Perkara tersebut menjadi tular di Twitter semalam apabila kecoh kunyit boleh menjadi penawar kepada wabak berkenaan.

Menurut kajian lepas juga masih belum membuktikan wabak Covid-19 mempunyai sebarang ubat khas bagi merawatnya.

Perkara tersebut menjadi viral apabila pemilik Twitter @hoelymelayu yang berkongsi kisahnya disuruh mencari kunyit.

Tip palsu itu telah diterima oleh ibu bapanya melalui aplikasi Whatsapp yang tersebar baru-baru ini.

Kongsinya, kandungan mesej tersebut telah menyuruh orang ramai membuat sup daripada kunyit, bawang dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, seorang lagi pemilik akaun Twitter @CharyedP yang berkongsi satu voice note video mengenai itu dan katanya tip ‘kebal’ berkenaan diperolehi daripada India.

Perkongsian video itu mendapat lebih daripada 80 ribu tontonan. Namun, rata-rata netizen meluahkan pandangan masing-masing di ruangan komen dan berharap mesej-mesej palsu berkenaan tidak mudah dipercayai dan diamalkan terutamanya kepada golongan yang lebih ‘senior’.

Dalam pada itu, kongsi Dr Che Puteh Osman di Facebooknya, sebelum mempercayai kunyit boleh merawat atau mencegah Covid-19, perlu diketahui terlebih dahulu makanan yang dimasak setiap hari sememangnya kaya dengan rempah ratus.

Pernah diuji sebagai agen antimikrobial sahaja dan tidak pernah dikaji bagi merawat dan mencegah wabak berkenaan.

“Jadi jangan beranggapan anda mengamalkan petua ini, maka anda selamat daripada terkena jangkitan Covid-19.

“Anda akan ada false sense of security dan meletakkan diri anda dan orang sekeliling anda berisiko jangkitan Covid-19,” tulisnya.

Sehingga hari ini, Malaysia telah mencatat 5,072 kes Covid-19 dengan 83 kematian serta 2,647 kes telah sembuh.

Amalkan gaya hidup yang sihat, kerap membasuh tangan dan kekal duduk di rumah. Kita pasti menang!

#janganputusasaMalaysia